.jpg)
PERTAMA kali dalam sejarah rakyat Malaysia akan menyambut Hari Kebangsaan di bawah pentadbiran kerajaan baharu.
Hari Kemerdekaan yang ke-61 dan Hari Malaysia yang ke-55 semestinya diraikan dengan suasan yang berbeza tidak terkecuali bagi warga Sabah.
Sejarah mencatatkan Sabah sebagai sebuah negeri yang kerap bertukar kerajaan dan kali ini sudah masuk kali yang kelima selepas 24 tahun Bariasan Nasional (BN) memegang tampuk pemerintahan negeri.
BN berjaya menumbangkan PBS pada 1994, satu-satunya kerajaan pembangkang Sabah yang pernah mencabar autoriti kerajaan persekutuan.
Kejatuhan PBS memadam kemahuan rakyat untuk mengubah kerajaan sehinggakan gelombang politik yang melanda Malaysia pada pilihan raya umum (PRU) ke12 dan PRU13 tidak lagi memberi kesan kepada Sabah.
Hasilnya Sabah dikurniakan gelaran “deposit tetap”, frasa yang membawa makna “dipeduli hanya apabila undi mereka diperlukan”.
Berdasarkan prestasi cemerlang BN Sabah mengekalkan majoriti DUN lebih daripada dua penggal, tiada siapa dapat menyangka BN bakal tumpas pada PRU14. Bahkan sokongan yang diperoleh pada PRU13 berjumlah 427,890 undi menurun sebanyak 17% kepada 355,091 undi pada PRU14 seterusnya menafikan sokongan majoriti ke atas BN.
Susulan kejatuhan itu, rakyat Malaysia khususnya Sabah menyaksikan adegan drama yang mencemaskan pada minggu pertama pasca PRU14, tetapi kesudahannya, kerajaan bertukar selepas beberapa Adun Upko dan Umno bertindak keluar daripada BN dan menyatakan sokongan kepada Warisan-Pakatan Harapan (PH).
Sebenarnya ia bukanlah keputusan yang mudah bagi rakyat Sabah untuk menukar kerajaan kerana sejak berada di bawah pemerintahan BN, mereka menikmati pelbagai kesenangan hidup sehingga mereka takut untuk menukar kerajaan walaupun Sabah pernah dicatatkan sebagai negeri kedua termiskin di Malaysia selepas Kelantan.
Hakikatnya, rakyat Sabah memberi signal jelas yang mereka benar-benar mahukan perubahan yang mana ia disertai dengan harapan untuk melihat arah tuju Sabah dalam era “Malaysia Baharu”.
Harapan yang ingin melihat pentadbiran Sabah lebih telus berbanding sebelumnya, ahli politik yang bebas daripada skandal rasuah, pembangunan ekonomi yang menjamin kehidupan rakyat dan yang paling utama, hak-hak Sabah dikembalikan berdasarkan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
Isu MA63 bukanlah isu baharu malah ia diperjuangkan sejak 1990-an apabila PBS yang baru sepenggal memegang kerajaan negeri keluar daripada BN kemudiannya secara lantang menuntut MA63 dipatuhi.
Tindakan tersebut mengundang tekanan daripada kerajaan persekutuan yang akhirnya menamatkan kekuasaan PBS yang hanya bertahan selama 9 tahun.
Sejak itu, MA63 tidak lagi menjadi sebutan kerana tumpuan rakyat beralih kepada strategi “Poltik Pembangunan” yang dimainkan oleh BN Sabah sebagaimana yang disebut oleh Profesor Francis Loh Kok Wah.
Hanya sebelum PRU14 berlangsung isu MA63 kembali didendangkan oleh BN dan Warisan.
BN Sarawak berjaya mengekalkan penguasaan dengan meraih 72 daripada 82 kerusi DUN pada pilihan raya negeri 2016 hanya bermodalkan politik MA63.
Jangkaan awal pemerhati politik yang Sabah juga demikian tetapi sebaliknya yang berlaku apabila rakyat memilih Warisan-PH menjadi wakil mereka untuk perjuangkan MA63 berbanding BN yang bermulut manis.
Justeru, kebijaksanaan pemimpin berdepan cabaran dalam usaha memenuhi tuntutan rakyat ke atas MA63 akan menjadi kayu ukur kepada kelangsungan politik kerajaan baharu Sabah sama ada ia akan bertahan atau bertukar lagi buat kali yang keenam pada PRU15.
Apa yang penting, jangan sesekali khianati kepercayaan rakyat Sabah. – 22 Ogos, 2018.
* Firdani adalah pembaca The Malaysian Insight.
* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.
Komen