SEORANG pakar membuat bom Al-Qaeda yang bersembunyi selama bertahun-tahun di Yaman sambil membangunkan projek bahan letupan yang sukar dikesan dipercayai terbunuh tahun lalu, kata pegawai Amerika Syarikat (AS) kepada AFP pada Selasa.
Ibrahim al-Asiri dipercayai terlibat dalam pelbagai plot termasuk serangan pada sambutan Hari Krismas 2009, apabila seorang lelaki Nigeria membawa bom dalam seluar dalam ketika penerbangan dari Amsterdam ke Detroit.
“Kami yakin beliau terbunuh hujung tahun lalu,” kata pegawai itu dengan syarat tidak mahu namanya disiarkan.
Menurut pasukan PBB yang mengesan kumpulan pengganas di Timur Tengah, beberapa anggota Majlis Keselamatan “melaporkan pakar bahan peledak Ibrahim al-Asiri mungkin terbunuh pada separuh kedua tahun 2017.”
“Memandangkan peranan masa lalu al-Asiri dalam plot terhadap penerbangan, ini akan menjadi tamparan serius kepada kemampuuan operasi,” kata laporan itu, yang dikeluarkan minggu lalu.
Pentagon berkata ia tidak mempunyai maklumat yang boleh diberikannya.
Asiri, rakyat Arab Saudi, anggota Al-Qaeda di Semenanjung Arab, yang berpusat di Yaman dan merupakan sasaran operasi anti-keganasan AS yang sedang berlangsung.
Asiri, bekas pelajar jurusan kimia yang juga dikenali sebagai Abu Saleh, berada dalam senarai paling dikehendaki dan beberapa kali terselamat dalam cubaan bunuh AS.
Beliau pakar dalam membina bahan letupan bukan logam, sering menggunakan Pentaerythritol tetranitrate, atau PETN, dan bahan kimia pelet.
Asiri dipercayai terlibat membuat bom untuk serangan gagal Hari Krismas 2009, dan percubaan menghantar bungkusan bom yang mengandungi PETN yang tersembunyi di dalam kartrij dakwat pencetak dari Yemen ke Chicago pada 2010.
Beliau juga dipercayai membuat bom yang digunakan oleh saudaranya, Abdullah, yang mati dalam serangan bunuh diri terhadap timbalan menteri dalam Arab Saudi pada 2009.
Pada serangan Hari Krismas, Umar Farouk Abdulmutallab cuba meletupkan bom yang disembunyikan pada seluar dalam ketika penerbangan dari Amsterdam ke Detroit.
Beliau gagal meletupkan bahan peledak itu, berjaya ditumpaskan oleh beberapa penumpang dan kini menjalani hukuman penjara seumur hidup di AS. – AFP, 22 Ogos, 2018.
Komen