WALUPUN berada dalam penjara, bekas presiden Brazil, Luiz Inacio Lula da Silva terus mendahului kedudukan dalam tinjauan pendapat yang dijalankan menjelang pilihan raya pada Oktober.
Tinjauan dijalankan oleh Institut Statistik dan Pendapat Umum (IBOPE) Brazil selepas 15 Ogos, iaitu tarikh akhir pendaftaran calon pilihan raya.
Pencalonan Lula masih tergantung memandangkan Mahkamah Pilihan Raya belum membuat sebarang keputusan rasmi, sama ada beliau layak atau tidak untuk bertanding.
Bekas presiden itu memperoleh 37% undian, sementara calon dari Parti Liberal Sosial (PSL), Jair Bolsonaro di kedudukan kedua dengan 18%, diikuti oleh Marina Silva, dari Rede, yang mendapat 6%.
Dalam senario tanpa Lula, Bolsonaro mendahului dengan 20% undian, diikuti Marina Silva sebanyak 12% dan Ciro Gomes, dari Parti Demokratik Buruh dengan sembilan peratus.
Sementara itu, Fernando Haddad, yang akan menggantikan Lula sebagai calon jika beliau tidak layak bertanding, sekadar meraih empat peratus undian.
Tinjauan IBOPE membabitkan 2,002 responden dari 142 bandar di seluruh Brazil mulai 17 hingga 19 Ogos.
Lula, 72, didapati bersalah kerana rasuah dan pengubahan wang haram berkaitan pengubahsuaian penthouse di tepi pantai, yang dibiayai sebuah syarikat bagi mendapatkan kontrak dengan syarikat minyak negara Petrobras.
Beliau dihukum penjara 12 tahun di Curitiba, selatan Brazil. – Bernama, 21 Ogos, 2018.
Komen