Penyerang polis Sepanyol gay dan mahu bunuh diri, kata isteri


Abdelouahab Taib, lelaki warga Algeria berusia 29 tahun melaungkan nama “Allah” ketika cubaan serangan yang berlaku pada pagi Isnin di bandar Cornella de Llobregat, Catalonia. Pihak berkuasa menganggapnya sebagai “serangan pengganas.”– Gambar EPA, 21 Ogos, 2018.

SEORANG lelaki yang ditembak mati ketika cuba menyerang balai polis di Sepanyol mengaku dirinya gay beberapa bulan sebelum itu dan mahu membunuh diri, kata isterinya dipetik media Sepanyol.

Abdelouahab Taib, lelaki warga Algeria berusia 29 tahun melaungkan nama “Allah” ketika cubaan serangan yang berlaku pada pagi Isnin di bandar Cornella de Llobregat, Catalonia. Pihak berkuasa menganggapnya sebagai “serangan pengganas.”

Dalam keterangan kepada polis Catalonia, isterinya, seorang wanita Sepanyol yang masuk Islam selepas bertemunya, berkata dua bulan sebelum itu, Taib mengaku dirinya gay.

Taib dilaporkan berasa “malu” tentangnya kerana bertentangan dengan ajaran Islam, katanya.

Dua minggu selepas itu, isterinya meminta cerai dan memberitahu polis beliau mengesyaki serangan itu adalah cubaan bunuh diri, lapor media lagi.

Kementerian Dalam Negeri Sepanyol dan polis masih tidak mengesahkan dakwaan itu.

Taib tiba di balai polis yang ditutup di Cornella de Llobregat berhampiran Barcelona pada jam 5.45 pagi waktu tempatan pada Isnin dan menekan loceng supaya dibenarkan masuk, kata pesuruhjaya polis Rafel Comes kepada wartawan.

Sebaik polis membenarkannya masuk, Taib mengeluarkan “pisau besar” dan meluru kepada anggota polis “dalam tindakan yang jelas untuk membunuh anggota penguatkuasa kami,” kata Comes pada Isnin.

“Pegawai itu menggunakan pistolnya untuk menyelamatkan diri,” kata Comes menambah yang Taib melaungkan “Allah” beberapa kali serta beberapa ayat dalam bahasa asing tidak difahami pegawai bertugas.

“Ada bukti mencukupi untuk menyiasat kejadian itu sebagai serangan pengganas.” – AFP, 21 Ogos, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen