PRU Thailand 2019 dalam tempoh 24 Februari dan 5 Mei 


Sekatan politik akan dibatalkan sepenuhnya dalam tempoh 150 hari selepas penguatkuasaan undang-undang pilihan raya - berkaitan pemilihan ahli parlimen dan senator. – Gambar AFP, 21 Ogos, 2018.

TEMPOH masa untuk mengadakan Pilihan Raya Umum Thailand 2019 adalah antara 24 Februari dan 5 Mei tahun depan, kata timbalan perdana menteri pada Isnin. 

Menurut agensi berita Xinhua, selain itu Wissanu Krea-ngam berkata sekatan politik akan segera dikurangkan untuk membolehkan parti dan ahli politik meneruskan kegiatan mereka.

Bagaimanapun, beliau tidak menyatakan tarikh tepat bila sekatan akan dikurangkan, tetapi dua rang udang-undang senator dan ahli parlimen (MP) sedang dikaji semula oleh Raja, dan mempunyai 90 tempoh hari untuk mengesahkan atau sehingga pertengahan September.

Selepas disahkan, ia akan diwartakan. Undang-undang senator akan berkuat kuasa serta-merta tetapi undang-undang MP berkuatkuasa 90 hari selepas diwartakan. 

Sebaik sekatan ditarik balik, parti-parti politik dibenarkan menjalankan kegiatan politik yang terhad tanpa memerlukan kelulusan terlebih dahulu daripada Majlis Kebangsaan bagi Keamanan dan Ketenteraman (NCPO), kata Wissanu.

“Aktiviti politik itu termasuk mengadakan mesyuarat parti, memilih calon pilihan raya dan pembahagian kawasan pilihan raya,” katanya sambil menambah aktiviti politik khas masih memerlukan kelulusan awal dari NCPO sebelum boleh dijalankan.

Ujarnya lagi, sekatan politik akan dibatalkan sepenuhnya dalam tempoh 150 hari selepas penguatkuasaan undang-undang pilihan raya - berkaitan pemilihan ahli parlimen dan senator. – Bernama, 21 Ogos, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen