Tsukiji bakal pindah, program pelancong lihat bidaan tuna dihentikan


Program bidaan ikan tuna yang meriah itu dianggap tarikan wajib pelancong yang melawat ibu kota Jepun itu-walaupun bermula seawal 5.30 pagi- dengan jumlah pelancong dihadkan kepada 120 orang setiap hari. – Gambar EPA, 21 Ogos, 2018.

TSUKIJI, pasar ikan terkenal Tokyo akan menamatkan program pelancong melihat bidaan ikan tuna sebelum subuh bermula bulan depan, ketika ia bersiap sedia untuk berpindah pada 11 Oktober, kata jurucakap pada Selasa.

Selepas beroperasi lebih 80 tahun, Tsukiji, pasar ikan terbesar dunia dan tarikan utama pelancong dalam kawasan dipenuhi restoran dan kedai itu akan berpindah ke Toyosu, bekas kawasan kilang gas.

Pasar itu yang mula dibuka pada 1935 dikenali ramai kerana program bidaan harian ikan tuna yang ditangkap di seluruh dunia untuk kegunaan banyak pihak termasuklah chef bertaraf Michelin sehinggalah kepada kedai runcit biasa.

Program bidaan ikan tuna yang meriah itu dianggap tarikan wajib pelancong yang melawat ibu kota Jepun itu-walaupun bermula seawal 5.30 pagi- dengan jumlah pelancong dihadkan kepada 120 orang setiap hari.

Walaupun bermula awal pagi, ia tidak menghalang pelancong berkumpul untuk menontonnya, malah mereka “berbaris sejak jam 2 pagi lagi”, kata jurucakap kerajaan tempatan Tokyo kepada AFP.

Tetapi kemasukan kepada bidaan ikan tuna itu akan dihentikan pada 15 September kerana pihak pengurusan pasar sedang bersiap sedia melakukan proses pemindahan, katanya.

Pasar Tsukiji menguruskan 480 jenis makanan laut bernilai AS$14juta setiap hari, serta 270 jenis sayur dan buah dan sudah memenuhi peranannya membekalkan makanan laut segar kepada penduduk Jepun sejak dibuka.

Tetapi sejak beberapa tahun kebelakangan ini, wujud kebimbangan tentang keselamatan bangunan daripada bencana gempa bumi, kebersihan dan kebakaran.

Rancangan memindahkan Tsukini pada awalnya dijadualkan berlaku pada 2016, tetapi beberapa kali tertangguh kerana pelbagai faktor termasuklah penemuan pencemaran tanah di Toyosu yang akan jadi lokasi barunya.

Tsukiji akan dibangunkan menjadi pusat pengangkutan ketika Sukan Olimpik Tokyo 2020, tetapi pelan pembangunan masa depannya masih tidak diputuskan. – AFP, 21 Ogos, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen