Waris si mati perlu bayar tunggakan cukai, kata LHDN


MEREKA yang meninggal juga perlu membayar cukai, kata Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) kerana agensi itu mempunyai kuasa undang-undang mengutip cukai daripada waris mereka.

Di bawah Seksyen 74 dan Seksyen 106 Akta Cukai Pendapatan 1967, LHDN diberikan kuasa untuk mengutip cukai tertunggak si mati daripada saudara terdekat.

“Sekiranya waris sah si mati tidak mempunyai kemampuan untuk membayar tunggakan tersebut secara sekali gus, LHDN menasihatkan waris sah si mati mengunjungi pejabat LHDN untuk perbincangan bayaran secara ansuran,” kata agensi itu dalam satu kenyataan.

LHDN mengeluarkan kenyataan itu sebagai maklum balas kepada laporan berita Amran Mohamed sebelum ini yang tular di media sosial, mendakwa agensi itu mahu mengutip cukai tertunggak daripada isterinya kerana dia didakwa sudah meninggal dunia.

Menyentuh kes Amran, LHDN berkata yang agensi itu tersilap dan memohon maaf kerana kesilapan itu.

“Melalui semakan lanjut yang dibuat, LHDN mendapati pembayar cukai masih hidup dan dengan ini ingin memohon maaf kepada pembayar cukai tersebut atas kesilapan yang berlaku,” kata agensi itu.

Lembaga itu bagaimanapun berkata semakan cukai akan tetap dijalankan sehingga tarikh kematian pembayar cukai, dan sudah menjadi tanggungjawab waris untuk menyelesaikan jumlah cukai tertunggak.

Pendapatan yang dijana selepas tarikh kematian akan dianggap harta pusaka dan sebuah fail cukai baru akan dibuka untuk menaksir jumlah harta pusaka itu.

Kadar cukai untuk taksiran baru adalah sama dengan kadar cukai pendapatan individu dan menjadi tanggungjawab waris untuk mengisytiharkan pendapatan itu kepada LHDN melalui borang TP. – 29 Julai, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen