PBB sambut baik genjatan senjata tiga hari di Afghanistan sempena Aidiladha


Laporan Misi Bantuan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Afghanistan (UNAMA) mendapati 2018 merupakan tahun paling tragis, menyaksikan ramai orang awam di Afghanistan menjadi korban, sejak misi itu mula mengumpul data pada 2009. – Gambar AFP, 21 Ogos, 2018.

MISI Bantuan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Afghanistan (UNAMA) menyambut baik pengumuman kerajaan untuk melaksanakan gencatan senjata bersyarat selama tiga hari sempena Aidiladha, lapor Agensi Berita Iran (IRNA).

“Gencatan senjata bersama itu dilihat mempunyai prospek ke arah perbincangan lebih lanjut antara pihak-pihak yang bertelagah,” kata ketua UNAMA Tadamichi Yamamoto.

Sekiranya menjadi kenyataan, ia merupakan gencatan senjata kedua antara kerajaan dan Taliban sejak konflik bermula di Afghanistan hampir 20 tahun lalu. 

“Adalah penting merebut segala peluang yang ada untuk menamatkan konflik untuk memastikan rakyat Afghanistan dapat menikmati kehidupan aman yang amat diharapkan,” kata Yamamoto. 

Beliau berkata demikian sebagai mengulas saranan Setiausaha Agung PBB Antonio Guterres pada Khamis yang melihat perlunya gencatan senjata dan membuka jalan ke arah rundingan damai. 

Pada Julai, laporan UNAMA mendapati 2018 merupakan tahun paling tragis, menyaksikan ramai orang awam menjadi korban, sejak misi itu mula mengumpul data pada 2009.

Pada minggu lalu sahaja, pertempuran maut berlaku di bandar Ghazni, barat daya Kabul, menyebabkan kematian lebih 150 orang awam.

UNAMA, yang diberi mandat untuk menyokong proses perdamaian dan keamanan, menegaskan pihaknya “bersedia memainkan peranan jika diminta oleh pihak yang ingin memastikan rundingan dicapai”.  – Bernama, 21 Ogos, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen