Haiwan terbiar di zoo Aleppo dipindahkan ke Turki


Four Paws, organisasi perlindungan haiwan antarabangsa berjaya memindahkan haiwan terabai di zoo yang terletak dalam kawasan perang Aleppo, Syria. – Gambar AFP, 29 Julai, 2017.

SEBUAH badan kebajikan haiwan antarabangsa melengkapkan proses pemindahan haiwan yang tersadai di zoo terbiar di kawasan konflik Aleppo, utara Syria semalam.

Kumpulan Four Paws itu mahu memindahkan dua ekor singa dan dua anjing dari zoo “Magic World” dan taman rekreasi di Syria ke Turki dan kemudiannya ke pusat perlindungan haiwan di utara negara itu, kata jurucakapnya kepada AFP.

Haiwan itu dibawa melintasi sempadan Syria-Turki semalam dan kini dalam perjalanan ke pusat perlindungan haiwan di Karacabey, berhampiran bandar Bursa, Turki, kata jurucakapnya Martin Bauer.

Pada operasi awal, Four Paws berkata yang mereka berjaya memindahkan sembilan haiwan pada 21 Julai lalu- tiga ekor singa, dua ekor harimau, dua ekor beruang hitam Asia dan dua ekor dubuk- daripada Magic World yang terbiar.

“Sembilan haiwan itu kini sedang dirawat di Karacabey dan dalam keadaan baik,” kata Bauer.

Dia mengesahkan dengan pemindahan terakhir empat haiwan semalam “tiada lagi haiwan yang ditinggalkan di zoo Magic World”.

Sebaik sahaja kesemua haiwan itu meninggalkan Syria, organisasi itu akan menentukan ke mana mereka akan dihantar berdasarkan tahap kesihatan haiwan tersebut.

“Four Paws mempunyai banyak pilihan tempat perlindungan haiwan termasuk di Jordan, Afrika Selatan dan Belanda,” kata doktor haiwan dan ketua misi itu, Amir Khalil.

“Kami akan memilih tempat yang paling sesuai untuk semua haiwan terbabit.” – AFP, 29 Julai, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen