TUJUH petugas misi bantuan kemanusiaan maut setakat ini dan 10 lagi cedera di Somalia, kata Timbalan Wakil Khas Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Somalia, Peter de Clercq.
Justeru, beliau mahu petugas bantuan kemanusiaan terus dilindungi memandangkan keselamatan mereka sering diancam, selain dihalang menjalankan tugas.
“Mereka masih diancam dan dihalang menghantar bantuan kepada mereka yang sangat memerlukan - ia perlu dihentikan,” katanya dalam kenyataan dikeluarkan di Mogadishu sempena Hari Kemanusiaan Sedunia.
Beliau berkata, terdapat 74 insiden ganas membabitkan petugas kemanusiaan di Afrika sejak awal tahun 2018.
Daripada jumlah itu 18 orang diculik tahun ini, enam masih menjadi tebusan, termasuk jururawat Jerman Sonja Nientiet yang bekerja dengan Jawatankuasa Antarabangsa Palang Merah ketika diculik di Mogadishu pada Mei.
Meskipun terdapat penurunan kes berbanding tahun sebelumnya, ia tetap membimbangkan, tambah beliau.
Sementara itu, kerajaan Somalia berikrar untuk mengambil langkah mengurangkan ancaman.
“Kementerian kita akan berusaha mewujudkan dasar yang kuat untuk melindungi kesejahteraan orang awam, petugas misi bantuan kemanusiaan dan pekerja kesihatan,” kata Menteri Hal Ehwal Kemanusiaan dan Pengurusan Bencana Hamza Said Hamza. – Bernama, 21 Ogos, 2018.
Komen