KIRA-KIRA 30,000 penduduk berkumpul di Nyal, sebuah bandar yang dicengkam peperangan, untuk mendapatkan bantuan makanan yang hanya dihantar setiap tiga bulan sekali.
Bekalan makanan oleh Program Makanan Sedunia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) itu dihantar secara berperingkat selama tiga hari bermula Ahad.
PBB telah menghantar bantuan di perkampungan yang dikelilingi paya itu setiap tiga bulan, sejak 2014.
Bantuan itu terpaksa dihantar menggunakan pengangkutan udara kerana jalan darat tidak selamat dan seringkali terdedah dengan serangan.
Kajian tahunan mengenai trend keganasan terhadap petugas pertubuhan bantuan kemanusiaan, Sudan Selatan merupakan negara paling berbahaya di dunia.
Nyal dilanda peperangan sejak 2013, berikutan perselisihan antara Presiden Salva Kiir dan bekas naib presidennya Riek Machar yang menjadi pemimpin pemberontak.
Ribuan penduduk terbunuh, satu pertiga lagi lari meninggal kediaman masing-masing dan ekonomi negara yang bergantung kepada minyak juga terjejas teruk.
Awal bulan ini, Kiir dan Machar menandatangani perjanjian gencatan senjata selain bersepakat berkongsi kuasa di Khartoum - satu percubaan terkini bagi menamatkan perang di negara yang mencapai kemerdekaan pada 2011 selepas melalui perjuangan getir.
Sehari selepas perjanjian dimeterai, Amerika Syarikat, Britain dan Norway menyuarakan kebimbangan mereka dengan mengatakan kesepakatan itu dilihat tidak realistik. – Bernama, 21 Ogos, 2018.
Komen