PERANG dadah di bandar raya kedua terbesar Brazil menyebabkan sekurang-kurangnya 11 suspek penjenayah dan dua anggota tentera maut semalam.
Kejadian itu berlaku selepas tentera melancarkan kempen besar-besaran di kawasan setinggan miskin dan ketika polis mengejar penjenayah pada waktu puncak.
Pemerintah tentera yang mengetuai keselamatan di Rio de Janeiro berkata kematian dua anggotanya adalah yang pertama sejak Presiden Michel Temer menghantar mereka untuk melindungi Rio.
Tentera berkata seramai 4,200 anggota yang dilengkapi kereta perisai dan pesawat, memasuki kejiranan Penha dan kawasan setinggan Alemao dan Mare, yang dikendalikan penyeludup dadah bersenjata berat.
Hanya 70 anggota polis dikatakan terbabit, menunjukkan peralihan daripada operasi terdahulu yang menyaksikan polis mengetuai serbuan dan tentera cuma memberi bantuan.
Menurut pasukan polis Rio, 430kg dadah dirampas di Mare, jumlah lebih besar berbanding biasa dalam operasi seumpama itu.
Tentera membuang sekatan jalan raya yang didirikan kumpulan dadah, mengikut maklumat terhadap suspek penyeludup dan memeriksa kenderaan dan penduduk, kata tentera dalam kenyataan.
Tentera turut mengedarkan risalah meminta kerjasama penduduk.
Bagaimanapun, aktivis hak asasi bimbang kematian dan peranan askar, berbanding polis, memberi petunjuk membimbangkan dalam perang jenayah berpanjangan di bandar raya itu. – AFP, 21 Ogos, 2018.
Komen