PELAKON Jennifer Garner menerima bintang di Hollywood Walk of Fame semalam sebagai penghargaan kepada kerjaya lakonannya termasuk watak dalam filem seperti Juno dan Dallas Buyers Club.
Aktres kelahiran Texas itu membintangi lebih 30 filem dalam masa dua dekad tetapi beliau menerima banyak anugerah utama industri itu menerusi siri televisyen.
“Hari ini saat menandakan 24 tahun kehidupan saya yang gembira, melakukan kerja yang cukup saya cintai.
“Berkongsi ia dengan keluarga dan rakan memang mengagumkan dan istimewa,” kata pelakon berusia 46 tahun itu.
Pelakon Steve Carell dan Bryan Cranston, yang berlakon bersama Garner dalam filem komedi “Alexander and the Terrible, Horrible, No Good, Very Bad Day” pada 2014 dan “Wakefield” pada 2016, turut memberikan penghormatan.
Turut meraikan ialah Judy Greer, yang tampil bersama Garner dalam filem komedi romantik “13 Going on 30” pada 2004 dan drama komedi “Men, Women and Children” pada 2014 sebelum mengarah beliau dalam filem “A Happening of Monumental Proportions” pada 2017.
Pada 2001, Garner memperoleh watak yang meletakkannya dalam senarai pelakon kelas A, sebagai ejen Agensi Perisikan Pusat (CIA), Sydney Bristow dalam drama bersiri “Alias” yang ditayangkan selama lima musim.
Beliau menerima anugerah Golden Globe dan Screen Actors Guild bagi watak itu selain empat pencalonan bagi aktres terbaik di Emmy.
Pada 2005, Garner mengahwini pelakon Ben Affleck dan mempunyai tiga anak bersama.
Mereka mengumumkan perceraian pada 30 Jun, 2015 iaitu sehari selepas ulang tahun perkahwinan mereka ke-10. – AFP, 21 Ogos, 2018.
Komen