8 pendaki maut, banjir kilat landa pergunungan Itali


Anggota penyelamat mengangkat mayat pendaki yang maut selepas banjir melanda Sungai Raganello di selatan Itali, semalam. – Gambar EPA, 21 Ogos, 2018.

LAPAN pendaki maut apabila sungai di kaki gunung tiba-tiba banjir di wilayah Calabria, selatan Itali, dengan lima yang lain masih hilang, kata perkhidmatan kecemasan tempatan semalam.

“Terdapat lapan orang maut tetapi kami tidak menolak kemungkinan jumlah kematian akan bertambah,” kata unit perlindungan sivil tempatan.

Satu kenyataan dikeluarkan petang semalam menyatakan 23 orang diselamatkan dan lima masih hilang, selain lapan maut, dalam insiden banjir yang tiba-tiba berlaku di wilayah itu.

Difahamkan terdapat dua kumpulan terdiri daripada 18 pendaki di tapak berkenaan.

Akhbar Corriere della Sera melaporkan lapan yang maut ialah empat lelaki dan empat perempuan, sementara dua daripada 23 yang berjaya diselamatkan ialah kanak-kanak termasuk seorang perempuan yang mengalami hipotermia dibawa ke hospital menggunakan helikopter.

Jurupandu tempatan antara yang masih hilang, kata akhbar itu.

Lampu berkuasa tinggi digunakan untuk membantu penyelamat mencari dalam keadaan gelap, kata ketua perlindungan sivil wilayah, Carlo Tansi.

Akhbar tempatan memetik seorang pendaki Belanda sebagai berkata air tiba-tiba melungsur dan mangsa tidak sempat buat apa-apa pun.

Sebahagian kawasan Calabria semalam mengalami hujan lebat selama beberapa jam dan angin kuat, tetapi cuaca bertambah baik pada sebelah petang.

Sungai Raganello terkenal dalam kalangan pendaki kerana banyak cabaran di sepanjang laluannya.

Pihak berkuasa pada masa ini mengehadkan kemasukan ke kawasan itu dan menanda kawasan berbatu bagi membantu usaha penyelamat mengesan pendaki yang berdepan masalah. – AFP, 21 Ogos, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen