SEORANG rakyat China yang hilang sejak lima minggu lalu selepas diculik di California oleh tiga lelaki mendesak tebusan AS$2 juta, dedah FBI semalam.
Ruochen “Tony” Liao, 28, yang bekerja di sebuah syarikat pengedaran kereta mewah di Costa Mesa, diculik pada 16 Julai di bandar San Gabriel oleh tiga lelaki yang memandu dua kenderaan hitam, kata jurucakap FBI di Los Angeles, Laura Eimiller.
Beliau berkata penculikan Liao mungkin ada kaitan dengan urusan perniagaan yang gagal.
“Teorinya sekarang ialah wujud perbalahan dalam perniagaan,” kata Eimiller.
Beliau berkata penculik berkenaan, dipercayai semuanya warga China pada mulanya menghubungi keluarga Liao di China, mendesak wang tebusan AS$2 juta, tetapi gagal meneruskan tuntutan.
“Kami tidak ada bukti menunjukkan mangsa keluar dari negara ini tetapi kami tidak tahu dia mana beliau berada,” kata Eimiller.
Katanya, hanya seorang penculik, dikenali dengan nama David, berusia antara 35 hingga 40 tahun, pernah dilihat oleh saksi.
Liao berpindah ke Los Angeles selepas tamat pengajiannya di Nebraska.
Keluarganya menawarkan habuan AS$150,000 bagi maklumat yang membawa kepada kepulangannya sementara FBI menawarkan AS$25,000.
“Mangsa sangat disayangi oleh keluarganya,” kata peguam yang mewakili keluarga Liao, Matthew Lombard, menambah mangsa ialah anak tunggal dalam keluarga. – AFP, 21 Ogos, 2018.
Komen