Vietnam mungkin dilanda tiga taufan beberapa bulan lagi


Banjir kilat dan tanah runtuh yang dicetuskan Taufan Bebinca di wilayah utara dan tengah negara itu setakat ini menyebabkan 10 orang maut dan tiga lagi hilang, kata Jawatankuasa Pemandu Kebangsaan bagi Pencegahan dan Kawalan Bencana Alam. – Gambar AFP, 20 Ogos, 2018.

DALAM tempoh antara sekarang dan akhir tahun, lima hingga enam taufan dan fenomena lekukan tropika dijangka melanda Laut China Selatan, yang mana dua hingga tiga daripadanya diramalkan membadai Vietnam, menurut Pusat Ramalan Kebangsaan Hidro-Meteorologi negara itu pada Isnin.

Menurut agensi berita China Xinhua, taufan dan fenomena lekukan tropika diramal melanda wilayah tengah Vietnam pada bulan-bulan akan datang.

Sepanjang tempoh 2016 hingga 2017, lebih banyak taufan dan fenomena lekukan tropika melanda wilayah selatan negara itu.

Dalam tempoh antara sekarang dan akhir tahun, puting beliung, hujan lebat, banjir kilat dan tanah runtuh mungkin membadai wilayah utara kawasan pergunungan Vietnam, menurut pusat itu.

Banjir kilat dan tanah runtuh yang dicetuskan Taufan Bebinca di wilayah utara dan tengah negara itu setakat ini menyebabkan 10 orang maut dan tiga lagi hilang, kata Jawatankuasa Pemandu Kebangsaan bagi Pencegahan dan Kawalan Bencana Alam.

Banjir turut memusnahkan 38 rumah dan menghanyutkan hampir 3,430 lagi, membunuh lebih 400 ekor lembu dan kira-kira 30,500 ayam serta menjejaskan 1,500 hektar kolam akuakultur dan tiga daik.

Taufan Bebinca telah melanda wilayah utara serta tengah sebelum melemah dan bertukar kepada fenomena lekukan tropika pada Jumaat, menurut jawatankuasa itu. – Bernama, 20 Ogos, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen