PM Pakistan letak jawatan, akur arahan mahkamah


Seorang penyokong Nawaz Sharif pengsan selepas mahkamah membatalkan kelayakan perdana menteri Pakistan itu ekoran dakwaan rasuah yang dihadapi. Nawaz hari ini meletakkan jawatan. – Gambar EPA, 28 Julai, 2017.

PERDANA Menteri Pakistan Nawaz Sharif hari ini meletak jawatan selepas Mahkamah Agung negara itu membatalkan kelayakannya ekoran dakwaan rasuah yang dihadapi, lapor agensi berita Xinhua.

Pihak Suruhanjaya Pilihan Raya negara itu juga perlu memaklumkan secara rasmi kepada Nawaz beliau hilang kelayakan sebagai anggota Parlimen.

Jurucakap parti Liga Muslim Pakistan - Nawaz (PML-N) ketika mengulas perkara itu berkata, mereka akur dengan keputusan mahkamah dan akan mematuhinya walaupun terdapat “keraguan serius terhadap kandungan petisyen dan juga proses mahkamah yang dilalui sehingga keputusan mahkamah diumumkan hari ini.”

“Nawaz Sharif melepaskan jawatannya sebagai perdana menteri,” kata jurucakap itu menerusi kenyataan yang dikeluarkan pejabat Perdana Menteri.

“Hak dari segi undang-undang dan perlembagaan untuk mendapatkan perbicaraan yang adil dirampas. Ini tidak adil. Biarlah sejarah menilai keputusan yang dibuat hari ini,” katanya.

Mahkamah juga mengarahkan Biro Kebertanggungjawapan Kebangsaan (NAB) iaitu agensi pencegahan rasuah negara itu untuk menyiapkan siasatan jenayah terhadap perdana menteri yang dipecat dan Menteri Kewangan Mohammad Ishaq Dar.

Prosiding jenayah juga melibatkan anggota keluarga Nawaz iaitu dua anak lelakinya, anak perempuan dan menantu kerana didakwa cuba menyembunyikan harta di luar negara. – BERNAMA, 28 Julai, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen