Kabinet baharu Pakistan angkat sumpah


Presiden Mamnoon Hussain (kanan) mengetuai majlis angkat sumpah bagi menteri baharu dalam satu upacara yang turut dihadiri Perdana Menteri Imran Khan(kiri). – Gambar EPA, 20 Ogos, 2018.

KABINET Pakistan yang dianggotai 16 orang telah mengangkat sumpah pada Isnin dalam satu upacara di Rumah Presiden di Islamabad, lapor agensi berita China Xinhua.

Presiden Mamnoon Hussain mengetuai majlis angkat sumpah bagi menteri baharu dalam satu upacara yang turut dihadiri Perdana Menteri Imran Khan.

Lima penasihat kepada perdana menteri turut dilantik menganggotai Kabinet itu.

Kerajaan itu telahpun memperuntuk beberapa portfolio tertentu, yang menyaksikan Shah Mahmood Qureshi menjadi menteri hal ehwal luar negeri dalam Kabinet baharu. 

Qureshi, seorang pemimpin kanan parti pemerintah, Pakistan Tehreek-e-Insaf, sebelum ini menjadi menteri luar dalam kerajaan Parti Rakyat Pakistan pada 2008 hingga 2011.

Asad Umer, seorang pakar ekonomi, telah dilantik sebagai menteri kewangan manakala Pervez Khattak akan menjadi menteri pertahanan.

Fawad Ahmed, yang turut dikenali sebagai Fawad Chaudhry, telah dilantik sebagai menteri maklumat dan bidang penyiaran manakala Ghulam Sarwar Khan dilantik sebagai menteri bahagian petroleum.

Makhdoom Khusro Bakhtiar pula dilantik sebagai menteri sumber air.

Imran Khan telah memanggil mesyuarat pertama Kabinet selepas majlis angkat sumpah untuk merancang strategi pelaksanaan polisi kerajaan baharu. – Bernama, 20 Ogos, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen