Remaja Iraq lari dari Jerman lepas terserempak anggota Daesh


Seorang pelarian dari Iraq mendakwa beliau terserempak dengan anggota Daesh yang telah menyeksanya di barat daya pekan Schwaebisch Gmuend, Jerman pada 2016 dan bulan Februari tahun ini. – Gambar EPA, 20 Ogos, 2018.

BAGI seorang remaja perempuan puak Yazidi yang mencari perlindungan di Jerman, igauan masa silam yang berpunca daripada kekejaman kumpulan militan Daesh kembali menghantuinya, bukan sekali tetapi dua kali, ketika dia berada negara itu.

Ashwaq Haji Hami, 19, seorang pelarian dari Iraq, mendakwa beliau terserempak dengan anggota Daesh yang telah menyeksanya di barat daya pekan Schwaebisch Gmuend, Jerman pada 2016 dan bulan Februari tahun ini.

Pihak pendakwaan Jerman pada Sabtu berkata mereka sedia mengambil tindakan susulan berhubung dakwaan remaja itu bahawa dia telah dua kali terserempak dengan anggota Daesh yang telah menculiknya di negara itu, lapor agensi berita China Xinhua memetik media tempatan.

Kerana bimbang dicederakan, Hami melarikan diri ke Iraq bersama keluarganya selepas itu.

“Saya lari dari Iraq supaya saya tidak akan melihat lagi mukanya yang hodoh itu dan melupakan segala yang mengingatkan saya tentang perkara tersebut, namun saya terkejut apabila melihat dia di Jerman,” kata Hami seperti yang dipetik oleh penyiar awam Jerman, Deutsche Welle.

Pada 2014, Hami telah diculik oleh Daesh apabila kumpulan pengganas itu menyerang Kurdistan, Iraq. 

Dia telah dijadikan hamba dan didera oleh seorang anggota Daesh dikenali sebagai Abu Humam, yang nama sebenarnya menurut Hami ialah Mohammed Rashid.

“Saya mengingati wajahnya dengan begitu jelas… kerana dia sering memukul kami,” kata Hami, menurut Associated Press.

Dia melaporkan insiden itu kepada polis tempatan Jerman yang memulakan siasatan pada Mac.

Pihak berkuasa berkata maklumat yang diberikan remaja itu tidak begitu tepat bagi membolehkan mereka memadankan nama suspek dengan mana-mana orang berdaftar.

Kes itu telah diserahkan kepada pendakwa raya persekutuan pada Jun, iaitu ketika Hami pulang ke Iraq. 

Siasatan tidak boleh diteruskan kerana saksi tidak dapat dihubungi ketika ini, menurut pihak berkuasa.

Pada 2014, Daesh telah melakukan apa yang dianggap oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu sebagai satu “genosid” terhadap puak Yazidi di utara Iraq.

Beberapa ribu orang telah dilaporkan dibunuh dan diculik manakala ramai lagi tersingkir. – Bernama, 20 Ogos, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen