India berjaya uji keupayaan peluru, bom anti kereta kebal


Seorang lelaki India melihat model peluru berpandu HELINA sempena pameran Pertubuhan Kajian dan Pembangunan Pertahanan pada Julai 2017. – Gambar AFP, 20 Ogos, 2018.

INDIA berjaya melakukan ujian tembakan peluru dan bom berpandu anti-kereta kebal yang dibangunkan secara tempatan dan boleh dilancarkan dari helikopter, HELINA iaitu sejenis sistem senjata pintar anti-pangkalan udara (SAAW), di barat negeri Rajasthan, kata pegawai pada Isnin.

Menurut agensi berita China Xinhua, ujian itu dijalankan di Pokhran dalam daerah Jaisalmer yang terletak kira-kira 452 kilometer di barat Jaipur, ibu negeri Rajasthan.

“HELINA telah melalui ujian tembakan dengan jayanya dari helikopter tentera di kawasan Pokhran semalam,” kata seorang jurucakap kementerian pertahanan.

“Sistem senjata itu telah diuji sepenuhnya.”

Menurut para pegawai, tembakan sistem senjata itu telah berjalan dengan licin dari pelantar pelancar, menjejaki sasaran menerusi semua laluannya sebelum mengenainya dengan tepat.

Para pegawai kanan Organisasi Pembangunan Penyelidikan Pertahanan India (DRDO) dan tentera telah mengambil bahagian dan menyaksikan ujian senjata itu.

Secara berasingan, bom berpandu yang direka dan dibangunkan secara tempatan itu telah menjalani ujian tembakan dengan jayanya dari sebuah pesawat Tentera Udara India di kawasan Chandan.

Para pegawai berkata senjata itu mampu memusnahkan pelbagai sasaran di darat menerusi penggunaan navigasi yang tepat.

Menteri Pertahanan India Nirmala Sitharaman telah mengucapkan tahniah kepada DRDO atas kejayaan ujian senjata itu yang mampu mengukuhkan lagi keupayaan pertahanan negara tersebut. – Bernama, 20 Ogos, 2018.


 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen