BANJIR yang mula surut di Kerala membolehkan pasukan tentera dan penyelamat India memulakan operasi mencari mangsa terselamat dan mayat akibat bencana monsun terburuk di negara itu ketika jumlah kematian setakat ini 400 orang.
Dengan hampir tiga per empat daripada sejuta orang bersesak-sesak di kem pelarian di selatan negara itu, terkenal dengan pantai dan resort tanah tinggi dikunjungi pelancong, pihak berkuasa juga bimbang akan tercetusnya wabak penyakit.
Selepas seminggu hujan tanpa henti, hujan mula berhenti hari ini dan paras banjir turun di kebanyakan daerah.
Helikopter dan bot tentera meneruskan misi mencari mangsa yang terperangkap dan mengagihkan makanan dan air di perkampungan terpencil.
Pihak berkuasa berkata 22,000 orang diselamatkan semalam. Sekurang-kurangnya 30 mayat ditemui sejak hujan lebat pada 8 Ogos lalu dan lebih 400 maut sejak musim monsun bermula pada Jun.
Ketua Menteri Kerala Pinarayi Vijayan berkata keutamaan sekarang ialah menyediakan air minum dan mengembalikan bekalan elektrik di negeri itu yang mempunyai populasi 33 juta orang.
“Jumlah orang di 5,645 kem pelarian meningkat kepada 724,649,” kata Vijayan.
Beliau berkata pegawai kesihatan dihantar ke setiap kampung untuk membuat pemeriksaan tentang kemungkinan penyakit merebak.
Ribuan tentera, tentera laut dan tentera udara digerakkan ke kampung terpencil dan tanah tinggi di mana penduduknya terkandas.
Berpuluh-puluh helikopter menurunkan makanan, ubat dan air di kawasan terputus perhubungan darat susulan jalan dan jambatan rosak.
Di kawasan teruk terjejas seperti Thrissur dan Chengannur, pasukan penyelamat mencari rumah yang ditenggelami air di mana mereka menemui mayat mangsa terperangkap.
“Mereka tidak terfikir air akan naik setinggi ini, antar 10 hingga 15 kaki di beberapa tempat, ketika amaran awal dikeluarkan,” kata ketua operasi mencari di bandar kecil Mala di Thrissur, Ali K.M. – AFP, 20 Ogos, 2018.
Komen