4 atlet Jepun tersingkir Sukan Asia di Jakarta kerana pelacur


Empat atlet Jepun dihantar pulang dari Sukan Asia di Jakarta kerana terbabit dengan aktiviti melanggan pelacur. – Gambar EPA, 20 Ogos, 2018.

EMPAT atlet bola keranjang Jepun dihantar pulang ke tanah air mereka daripada Sukan Asia kerana didakwa melanggan pelacur, kata Jawatankuasa Olimpik Jepun (JOC) hari ini.

Mereka dikesan berada di kawasan pelacuran di Jakarta dengan berpakaian jersi negara mereka minggu lalu, kata pegawai JOC pada satu sidang akhbar.

Mereka diarahkan pulang ke Jepun serta-merta.

Berita berkenaan penghantaran pulang Yuya Nagayoshi, Takuya Hashimoto, Takuma Sato dan Keita Imamura akan memalukan Jepun, yang sebelum ini pernah menghantar pulang perenangnya pada Sukan Asia 2014 kerana mencuri kamera wartawan.

“Saya rasa malu,” kata ketua kontinjen Jepun Yasuhiro Yamashita.

“Kami benar-benar meminta maaf dan akan memberi pengajaran kepada atlet kami.”

Pemain bola keranjang itu keluar untuk makan malam dari perkampungan sukan dan dipercayai terpedaya dengan pelacur di tepi jalan untuk ke hotel, kata Yamashita.

“Saya dengan rendah diri memohon maaf kepada rakyat Jepun, JOC dan semua yang menyokong bola keranjang atas insiden ini,” kata ketua pasukan bola keranjang Jepun Yuko Mitsuya dalam satu kenyataan.

Perenang Jepun Naoya Tomita disingkirkan dari Sukan Asia di Incheon, Korea Selatan, empat tahun lalu kerana ditangkap mencuri kamera wartawan. – AFP, 20 Ogos, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen