BEBERAPA gempa bumi termasuk gegaran kuat berskala 6.9 magnitud sekali lagi melanda pulau pelancongan Lombok di Indonesia, menyebabkan sekurang-kurangnya lima maut.
Siri gempa bum itu dicatatkan oleh pakar seismologi sepanjang Ahad, dengan yang terkuat berlaku pada waktu tengah hari menyebabkan tanah runtuh dan orang ramai lari menyelamatkan diri.
Gegaran berskala 6.9 berlaku 12 jam kemudian dan lima lagi gempa selepas itu.
Pulau indah itu baru saja mengalami dua gegaran kuat pada 29 Julai dan 5 Ogos lalu, menyebabkan hampir 500 orang terbunuh dan ratusan ribu lagi kehilangan tempat tinggal.
Jurucakap agensi bencana tempatan Agung Pramuja berkata lima terbunuh kerana gempa pada petang semalam, dua di timur Lombok dan tiga lagi di kepulauan Sumbawa.
Pihak berkuasa memindahkan sejumlah besar pesakit dari hospital di Sumbawa kerana bimbang berlaku gempa.
Kebanyakan tempat di Lombok terputus bekalan elektrik, kata jurucakap agensi bantuan bencana, Sutopo Purwo Nugroho.
“Gempa bumi terlalu kuat. Semuanya bergegar,” kata seorang penduduk Lombok.
“Kami sedang tidur dalam khemah tempat penempatan. Saya baru tertidur ketika tiba-tiba semuanya bergegar. Orang ramai lari ke jalan raya, menjerit dan menangis.” – AFP, 20 Ogos, 2018.
Komen