IMRAN Khan membuat ucapannya yang pertama sebagai perdana menteri Pakistan pada Ahad, yang disiarkan di seluruh stesen televisyen negara itu yang mana beliau mengumumkan perubahan mensasarkan kepada membanteras rasuah dan memfokuskan kepada pembangunan insan di negara itu.
Khan dalam ucapannya selama sejam itu turut mengulangi janji kempennya untuk membina negeri Islam berkebajikan dan turut menyentuh mengenai isu yang jarang disebut oleh perdana menteri Pakistan sebelum ini seperti membanteras serangan seksual kanak-kanak dan perubahan cuaca.
Tanpa menamakan sesiapa, beliau berjanji untuk meningkatkan hubungan Pakistan dengan negara jiran, dan meningkatkan keselamatan di wilayah Balochistan dan juga etnik di kawasan sempadan Afghanistan.
“Kita mahukan keamanan, kerana Pakistan tidak akan makmur selagi keamanan tidak dikembalikan,” katanya.
Khan berkata beliau sendiri akan memegang portfolio menteri dalam negeri kerana beliau mahu membanteras pengubahan wang haram dan penyelewengan.
Bekas pemain kriket itu turut mengumumkan langkah penjimatan yang akan dilakukan kerajaan seperti menjual kebanyakan kenderaan yang diperuntukkan kepada perdana menteri, mengurangkan kakitangan dan mengubah kediaman rasmi kepada universiti.
“Saya akan berjuang membanteras penyelewengan, sama ada negara ini akan hidup atau rakyatnya akan terus dibelenggu korupsi,” katanya. – AFP, 20 Ogos, 2018
Komen