PRESIDEN Brazil Michel Temer menggesa mesyuarat tergempar dengan menteri utama negara itu pada Ahad selepas mengarahkan tentera ke sempadan Venezuela berikutan ketegangan yang semakin memuncak di kawasan berkenaan.
Langkah itu diambil selepas penduduk di pekan sempadan Pacaraima bertempur dengan pendatang Venezuela, menghalau mereka keluar daripada kem penempatan sementara.
Temer mengadakan mesyuarat itu di istana presiden di Brasilia dengan menteri utama, termasuk menteri pertahanan, keselamatan awam dan hal ehwal luar negara, namun tiada butiran lanjut didedahkan mengenainya.
Situasi di Pacaraima pada awal Ahad semakin tenang, kerana penduduk di kawasan itu menghalau semua pendatang Venezuela yang tinggal di jalanan.
“Lebih 1,200 pendatang Venezuela kembali ke negara asal mereka selepas kekejaman pada Sabtu,” kata jurucakap pasukan khas pendatang Brazil kepada AFP.
“Pekan ini nampak lengang hari ini. Keadaan agak sunyi berikutan pasukan tambahan polis sudah tiba dan pasar dibuka semula,” kata salah seorang penduduk pekan itu yang enggan dikenali.
Kementerian keselamatan awam negara itu menghantar 60 kontinjen tentera untuk menyertai pasukan sedia ada di kawasan berkenaan pada Isnin.
Puluhan ribu pendatang Venezuela merentasi sempadan memasuki Brazil sejak tiga tahun lalu untuk melarikan diri daripada krisis ekonomi, politik dan sosial yang mencengkam negara mereka. – AFP, 20 Ogos, 2018
Komen