Keluarga Korea terpisah akibat perang bertemu semula 


Pagar dan kawat besi yang memisahkan antara Korea Utara dan Korea Selatan selepas dua negara itu terbabit dalam kancah peperangan sejak 1950an. – Gambar EPA, 20 Ogos, 2018

SEKUMPULAN warga emas Korea Selatan akan bertemu dengan ahli keluarga mereka di Korea Utara pada Isnin, selepas hampir tujuh dekad dipisahkan oleh peperangan di semenanjung negara terbabit. 

Pertemuan semula yang diadakan selama tiga hari itu, merupakan pertemuan kali pertama dalam tempoh tiga tahun, akan diadakan di sebuah pusat peranginan di Gunung Kumgang, Korea Utara. 

Perang yang meletus antara Korea Utara dan Selatan pada tahun 1950-53 menyebabkan jutaan orang terpisah dengan keluarga.

Antaranya adalah Lee Keum-seom yang kini berusia 92 tahun, yang menunggu untuk berjumpa anaknya buat pertama kali sejak terpisah akibat perang itu. 

Beliau kehilangan suami dan anak lelaki berusia empat tahun ketika keluarganya melarikan diri dan menaiki feri menuju ke Selatan bersama anak perempuannya—yang menemaninya ke pertemuan itu.

Anak lelakinya itu kini berusia 71 tahun dan Lee dimaklumkan anaknya itu akan membawa menantunya pada pertemuan berkenaan. 

“Saya tak pernah bayangkan hari ini akan tiba. Saya sendiri tidak tahu anak saya itu masih hidup atau sudah mati sebelum ini,” katanya. 

Oleh kerana konflik tamat dengan gencatan senjata berbanding perjanjian damai, dua negara Korea terbabit secara teknikalnya masih berperang. Semua pertukaran awam, termasuk berita mengenai keluarga masing-masing adalah diharamkan. – AFP, 20 Ogos, 2018


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen