SEORANG rakyat Mesir yang dituduh melakukan perampasan ke atas sebuah pesawat dan melencongkannya ke Cyprus sudah diekstradisi ke negara asalnya, kata pegawai hari ini.
Seif al-Din Mohamed Mostafa, 61, didakwa menggunakan tali pinggang bom palsu untuk merampas pesawat milik EqyptAir yang ketika itu dalam perjalanan dari Iskandariah menuju ke Kaherah pada Mac 2016.
“Pihak berkuasa Cyprus semalam menyerahkan Seif al-Din Mohamed Mostafa kepada pihak berkuasa mesir,” kata kenyataan Kementerian Keadilan Cyprus.
Pegawai di lapangan terbang Kaherah mengesahkan kepulangan Seif yang dikawal ketat pasukan keselamatan pada Sabtu.
Ketua peguam Mesir berkata Seif diserahkan kepada pihak pendakwa di negara itu bagi siasatan lanjut.
Seif merayu agar beliau tidak diekstradisi kerena mendakwa tidak akan diberikan perbicaraan yang adil di Mesir. Namun, Mahkamah Tertinggi Crprus menolak rayuan tersebut tahun lalu.
Permohonan Seif untuk mendapatkan suaka politik turut ditolak pihak berkuasa Cyprus yang menyifatkan beliau sebagai “pelaku jenayah serius”.
Semasa perbicaraan, Seif menyifatkan dirinya sebagai seorang liberal yang mahu menegakkan demokrasi di negara asalnya.
Seif berkata motif beliau merampas pesawat domestik tersebut adalah untuk mencari suaka politik di Itali dan memberitahu seluruh dunia mengenai “penindasan” yang dilakukan kerajaan Mesir.
Menurut polis Cyprus, Seif mengaku bersalah melakukan rampasan tersebut dalam satu kenyataan secara sukarela.
Kebanyakan daripada 55 penumpang kemudian dibebaskan selepas pesawat itu mendarat, sementara yang lain berjaya meloloskan diri. – AFP, 19 Ogos, 2018.
Komen