Israel tutup semula sempadan Gaza


Sebuah trak membawa bekalan makanan melintasi sempadan Gaza-Israel selepas pihak rejim membuka semula lalu ke Semenanjung Gaza pada 15 Ogos lalu. – Gambar AFP, 19 Ogos, 2018.

ISRAEL menutup semula satu-satunya laluan di sempadan Gaza sebagai usaha meningkatkan sekatan terhadap rakyat Palestin ketika usaha mencari perdamaian antara kedua-dua pihak giat dijalankan.

Tindakan Israel itu diambil susulan pertempuran yang semakin meningkat di kawasan sempadan sejak seminggu lalu termasuk insiden terbaru pada Jumaat lalu, kata Menteri Pertahanan Israel Avigdor Lieberman.

Siri bantahan dan pertempuran antara penduduk Gaza dan pasukan keselamatan Israel pada Jumaat lalu menyaksikan dua penduduk Palestin maut ditembak.

Penutupan laluan sempadan itu bakal menghalang penduduk Gaza untuk keluar menyambut Aidiladha tetapi Israel tidak menyatakan tempoh sekatan tersebut dilaksanakan.

Pejabat hal ehwal orang awam Pihak Berkuasa Palestin di Semenanjung Gaza turut mengesahkan penutupan sempadan itu kecuali keperluan perubatan dan rakyat Palestin yang memasuki semula ke Gaza.

Insiden di sempadan dan tindakan Israel menutup sempadan berlaku ketika Mesir dan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu cuba mencari jalan perdamaian antara Israel dan Hamas, kumpulan pejuang Islam yang mentadbir Gaza.

Israel mengenakan sekatan udara, darat dan laut ke atas Semenanjung Gaza sejak lebih sedekad lalu. 

Awal minggu ini, Israel membuka semula sempadan untuk membenarkan barangan logistik dihantar ke Gaza selepas menutup laluan itu selama lebih sebulan. – AFP, 18 Ogos, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen