Laluan kedua Kuching-Sibu bukan keutamaan, kata Adun PKR


Desmond Davidson

SARAWAK tidak perlu meneruskan usul projek laluan kedua dari Kuching ke Sibu bagi menjimatkan dana untuk dua lagi projek besar pembinaan jalan raya, kata See Chee How.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Batu Lintang itu berkata, projek pembinaan jalan sejauh 906 kilometer dan pembinaan Lebuh Raya Pan Borneo, masih belum selesai dan perlu diberi keutamaan.

Katanya, tiada sebab kerajaan negeri perlu tergesa-gesa untuk membina laluan kedua yang dikatakan mampu memendekkan perjalanan antara Kuching dan Sibu sebanyak 200 kilometer.

Ini kerana usul pembinaan jalan itu masih kekurangan dari segi reka bentuk dan perancangan, maklumat perincian tanah, tinjauan dan penilaian risiko.

“Skop kerja diperluas dan dibesar-besarkan untuk menaikkan kos projek,” katanya.

Jalan raya itu yang dibiayai oleh kerajaan negeri, dianggarkan bernilai antara RM4 bilion hingga RM6 bilion.

Katanya, jumlah itu terlalu tinggi dan kerajaan negeri perlu memberi keutamaan untuk menyiapkan jalan persisiran pantai yang dibiayai secara bersama oleh kerajaan negeri dan kerajaan persekutuan.

Projek itu diluluskan 32 tahun lalu di bawah Rancangan Malaysia Kelima (RMK-5) yang masih belum disiapkan.

Sambil menyifatkan ia sebagai ‘memalukan’, See berkata tiada kepastikan tempoh pembinaan jalan yang menghubungkan Sematan di Kuching ke Miri itu akan disiapkan.

Projek itu turut melibatkan pembinaan tujuh jambatan utama yang masih belum dibina dan buat masa ini, pengguna jalan raya menggunakan perkhidmatan feri untuk menyeberangi sungai.

Baru-baru ini See dilantik sebagai pegawai khas untuk Menteri Tenaga Baru Brian bagi mewakili beliau berhubung hal kementerian yang melibatkan Sarawak.

Menteri Pengangkutan dan Pembangunan Infrastruktur Sarawak James Masing pada Julai lalu berkata projek pembinaan laluan kedua akan memendekkan perjalanan antara Kuching dan Sibu berbanding Lebuh Raya Pan Borneo dan jalan raya persisiran pantai.

Namun See berkata, projek itu bukan satu keutamaan memandangkan kerajaan negeri perlu menampung kos tinggi daripada pembinaan dua projek mega tersebut. – 19 Ogos, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen