Pertimbangkan semula Majlis Penasihat Pendidikan Kebangsaan


MAJLIS Penasihat Pendidikan Kebangsaan (MPPK) yang diumumkan penubuhannya pada 17 Ogos 2018 mengundang pelbagai reaksi. Satu usaha yang baik walaupun dilihat tidak begitu menepati tertib namun usaha sebegini seharusnya disokong. 

Rata-rata komen yang diberikan menjurus kepada komposisi ahli yang dipilih. Kita bersangka baik dengan Pak Menteri iaitu YB Dr. Mazlee Malik, yang mahu berkongsi ruang perbincangan bagi mendapat nasihat atau buah fikiran yang terbaik bagi memacu pendidikan ke arah yang betul.

Namun, apabila dilihat dari komen-komen yang diutarakan jelas komposisi ahlinya gagal menggamit keyakinan ‘otai’ pendidikan. Bunyi yang serupa kedengaran apabila Pengerusi Lembaga Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka dilantik baru-baru ini.

Kita perlu ingat bahawa ‘Malaysia Baharu’ yang terbentuk hari ini, sejarahnya bukan bermula pada 9 Mei 2018. Sejarah pendidikan kita telah bermula lama dengan mempunyai evolusinya yang tersendiri. Sudah tentu dalam perjalanan itu, ramai pakar pendidikan telah dilahirkan. Pakar yang benar-benar masak, empuk dan serasi dengan dunia pendidikan Negara.

Maka apabila ‘otai pendidikan’ ini ‘berbunyi’sudah tentu ada kejanggalannya sama seperti kisah DBP. Setiap rakyat yang mengundi baru-baru ini mahukan Malaysia bergerak ke arah yang lebih baik. 

Pendidikan kita telah lama menjadi mangsa ‘cuba jaya’ (try and error). Menteri ketika rejim BN dahulu mengupah ‘otak luar’ untuk memikirkan pendidikan negara. Otak asing yang gagal memahami pendidikan yang diperlukan oleh rakyat Malaysia.

Keadaan sebegini tiada bezanya jika kita mengambil ‘otak tempatan’ tetapi berfikir seperti ‘otak asing’. Inilah yang dikhuatiri oleh kelompok ini.

Asas kepada kebimbangan ini jelas kelihatan apabila individu yang gagal berhujah secara ilmiah berkaitan pelaksanaan PPSMI dan kemudiannya DLP dilantik menganggotai majlis ini. 

Apakah yang boleh diharapkan dari tokoh seperti ini yang hanya berlagak rasional tapi gagal mengartikulasi kajian yang dilaksanakan oleh sebuah pertubuhan berkaitan pendidikan terhadap pelaksanaan PPSMI dan DLP? Bukan sekadar hujah, tetapi meminggirkan sebahagian besar pelajar luar bandar untuk menguasai Sains, Matematik dan Teknologi.

Oleh yang demikian kita mencadangkan agar ahli MPPK ini dipertimbangkan semula. Kita mempunyai keyakinan penuh terhadap pengerusinya iaitu Wan Zahid Wan Nordin yang telah menggalas tanggung jawab selaku Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia dahulu dengan jayanya. Libatkan juga Lembaga Pendidikan Islam (Lepai) di bawah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia, yang menyelaras dan menyelia institusi pendidikan Islam di peringkat sekolah.

Kita mempunyai keyakinan yang penuh terhadap YB Menteri yang menunjukkan sikap yang terbuka untuk mengkaji semula kesan pengiktirafan UEC terhadap pendidikan negara. Sudah tentu saranan untuk dipertimbangkan semula keahlian MPPK bukanlah sesuatu yang sukar melainkan ada kepentingan lain yang melebihi kepentingan pendidikan secara utuh.

Kita mengharapkan agar selepas ini setiap isu atau permasalahan berkaitan pendidikan dapat ditangani dengan kemas dan didokong oleh semua pihak secara jujur dan bersungguh-sungguh. Ia bermula dengan keahlian anggota badan penasihat yang mempunyai kewibawaan yang tinggi dan dihormati. 

Jika setiap segmen pendidikan berjaya diwakili dengan berkesan akan mendatangkan keyakinan bahawa dasar pendidikan yang bakal lahir semasa zaman Malaysia Baharu ini adalah dasar yang inklusif dan mempunyai matlamat yang jelas.

Kita amat positif dengan Dr Mahathir yang juga ‘baharu’ yang terbuka dan menghormati segala pandangan dari intelektual muda seperti Dr Mazlee Malik. – 19 Ogos, 2018


* Amidi Abdul Manan merupakan Pengerusi Pertubuhan Pendidikan Sejahtera Malaysia (Pendidik).

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen