KERAJAAN negeri Perak berada di ambang krisis politik susulan tindakan DAP yang berkeras mahu Menteri Besar Ahmad Faizal Azumu meluluskan pemberian pajakan selama 999 tahun atau hak milik kekal kepada penduduk kampung baru, dakwa Awang Selamat.
Dalam ruangan Bisik-bisik di Mingguan Malaysia, Awang berkata beliau mendapat khabar wakil rakyat DAP dan Amanah akan membuat undi tidak percaya terhadap kepimpinan Faizal.
“Sikap wakil rakyat PH negeri Perak yang diketuai oleh Nga Kor Ming dan Aziz Bari daripada DAP serta Nizar Jamaludin daripada Amanah yang secara terbuka mengkritik Faizal mencerminkan menteri besar itu tidak mendapat sokongan exco dan wakil rakyat PH.
“Antara punca krisis dikatakan Faizal menolak desakan DAP supaya penduduk kampung baru diberi pajakan selama 999 tahun. Jika undi tidak percaya ini diteruskan mungkin pilihan raya semula terpaksa diadakan di Perak,” kata penulis pojok mingguan itu.
Ahli Majlis Tertinggi Umno Armand Azha Abu Hanifah baru-baru ini mendedahkan menteri besar Perak menerima tekanan daripada DAP dan Amanah untuk meluluskan pemberian pajakan selama 999 tahun kepada penduduk kampung baru.
Faizal dalam ucapan penggulungannya persidangan DUN Perak kemudian berkata kerajaan negeri tidak boleh memberikan status hak milik 999 tahun kepada kampung baru kerana bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan.
Bagaimanapun, Nga tidak berganjak dan tetap bertegas mahu kerajaan negeri menunaikan janji untuk memberikan status hak milik 999 tahun atau hak milik kekal kepada tanah kampung baru seperti yang terkandung dalam tawaran Pakatan Harapan (PH) Perak untuk Pilihan Raya Umum Ke-14.
Pengerusi DAP Perak itu berkata hal ehwal tanah di bawah bidang kuasa kerajaan negeri dan bukannya tertakluk kepada Majlis Tanah Negara (MTN) yang hanya berperanan memberi nasihat.
Melihat perkembangan terkini politik Perak, Awang tidak menolak kemungkinan wujud pakatan baru dalam pentadbiran kerajaan negeri Perak antara Umno, PAS dan Bersatu.
PH mempunyai 30 kerusi daripada 59 kerusi di DUN Perak, sementara BN menguasai 26 kerusi dan PAS 3 kerusi. Daripada 30 kerusi PH itu, DAP mempunyai 18 kerusi, Amanah 6, PKR 4 dan Bersatu hanya satu kerusi.
“Kedudukan menteri besar Perak yang hanya mempunyai satu kerusi itu boleh diibaratkan telur di hujung tanduk dan hanya boleh diselamatkan oleh Umno dan PAS.
“Apakah dalam situasi ini kita akan lihat kemunculan pakatan baru antara Umno, PAS dan Bersatu bermula di Perak untuk menolak tekanan DAP dan Amanah?,” soalnya.
Sementara itu, Pengerusi Biro Perlembagaan Majlis Perundingan Melayu (MPM) Abdul Aziz Abdul Rahman menyifatkan DAP tidak mempunyai hak untuk memaksa menteri besar akur dengan permintaan mereka walaupun soal kelulusan status hak milik tanah di bawah bidang kuasa kerajaan negeri.
“DAP tidak boleh paksa, kelulusannya bergantung kepada kerajaan negeri Perak kerana tanah di bawah kuasa negeri.
“Katalah kerajaan negeri Perak luluskan permintaan ini, ia akan dijadikan rujukan oleh pihak lain pula untuk mendesak kerajaan menunaikan permintaan mereka pula selepas ini,” katanya, seperti dilaporkan Mingguan Malaysia. – 19 Ogos, 2018.
Komen