Menteri pertahanan Jepun letak jawatan


Menteri Pertahanan Jepun Tomomi Inada bercakap pada sidang media di kementeriannya mengumumkan peletakan jawatannya hari ini. – Gambar AFP, 28 Julai, 2017.

MENTERI Pertahanan Jepun Tomomi Inada meletak jawatan kerana mengambil tanggungjawab ke atas skandal membabitkan operasi pasukan pertahanan Jepun yang berkhidmat di bawah misi pengaman Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di Sudan Selatan, kata Perdana Menteri Shinzo Abe.

Tugas Inada diambil alih Menteri Luar Fumio Kishida sehingga pelantikan baharu dibuat, lapor agensi berita China Xinhua.

Peletakan jawatan Inada dikemukakan menjelang rombakan Kabinet yang dirancang perdana menteri minggu depan.

Menurut sumber nama yang disebut mungkin menjadi pengganti Inada ialah bekas menteri pertahanan Itsunori Onodera.

Peletakan jawatan itu susulan dakwaan terbabit menyembunyikan rekod dalaman mendedahkan bahaya dihadapi Pasukan Pertahanan Diri (GSDF) Jepun yang ditugaskan di bawah misi pengaman PBB di Sudan Selatan.

Beberapa pegawai kanan Kementerian Pertahanan dan anggota tertinggi tentera pada Disember lepas, memberitahu terdapat rekod catatan yang memperincikan keadaan semakin kritikal bagi tentera Jepun, dibuang anggota GSDF.

Kementerian sebelum ini, menegaskan pada Februari menemui data dalam format digital pada komputer milik Pejabat Petugas Staf Bersama Pasukan Pertahanan Diri dan mendakwa data itu dibuang petugas GSDF.

Jepun akhirnya memanggil pulang anggota GSDF dari misi PBB pada akhir Mei tahun ini, dengan alasan tugasan pasukan berkenaan sejak lima tahun sudah cukup memberangsangkan.

Kerajaan langsung tidak menyatakan arahan memanggil pulang tentera kerana keadaan keselamatan yang semakin meruncing di Sudan Selatan.

Inada turut menafikan dakwaan terhadapnya, kementerian juga menolak tuduhan beliau terbabit dalam menyembunyikan data.

Beliau rakan sekutu rapat perdana menteri dan dilantik menjadi menteri pertahanan pada Ogos lepas. – Bernama, 28 Julai, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen