SEORANG lelaki yang merempuh pengadang di sekeliling bangunan Parlimen Britain didakwa atas tuduhan cubaan membunuh, kata polis.
Salih Kater, 29, rakyat Britain berketurunan Sudan yang menetap di Birmingham dijadualkan hadir di Mahkamah Majistret Wesminster esok.
Dia didakwa cuba melakukan pembunuhan ke atas orang ramai dan berdepan satu lagi tuduhan iaitu cubaan membunuh pegawai polis, susulan insiden di luar bangunan ikonik di Westminster Selasa lalu.
Polis berkata Perkhidmatan Pendakwaan Diraja (CPS) iaitu pendakwa raya negeri menganggap kes ini sebagai keganasan.
“Dakwaan ini dilakukan susulan tindakan Khater memandu keretanya ke arah orang ramai dan pegawai polis sebelum merempuh pengadang di luar Parlimen,” kata polis London dalam satu kenyataan.
“Berdasarkan kepada faktor cara, lokasi dan jenis sasaran iaitu terhadap orang ramai dan pegawai polis, CPS menganggap kes ini sebagai perbuatan keganasan,” kata kenyataan itu.
Khater didakwa di bawah Akta Cubaan Jenayah 1981. – AFP, 19 Ogos, 2018.
Komen