Putin gesa Eropah bantu bina semula Syria


Presiden Rusia Vladimir Putin dan Presiden Jerman Angela Merkel pada sidang akhbar bersama di utara Berlin, semalam. – Gambar AFP, 19 Ogos, 2018.

PRESIDEN Rusia Vladimir Putin menggesa negara-negara Eropah memberi sumbangan kewangan untuk pembinaan semula Syria bagi membolehkan berjuta-juta pelarian pulang ke tanah air mereka.

“Kita perlu mengukuhkan usaha kemanusiaan dalam konflik Syria,” katanya menjelang mesyuarat dengan rakan sejawatnya dari Jerman, Angela Merkel, kira-kira 70km di utara Berlin.

“Maksud saya ialah bantuan kepada rakyat Syria, dan bantu negara itu di mana pelarian yang tinggal di luar negara akhirnya akan dapat pulang.”

Pada masa ini sejuta pelarian ada di Jordan, jumlah sama juga di Lubnan, dan tiga juta di Turki, kata Putin.

Jerman menerima ratusan ribu pendatang sejak 2015 – ketika kemuncak krisis kemasukan pendatang – yang melemahkan Angela Merkel secara politik dan memecahkan Kesatuan Eropah.

“Ini berpotensi menjadi beban besar kepada Eropah.

“Itu sebabnya kita perlu buat segala-galanya untuk memastikan pelarian dapat pulang,” katanya, menekankan keperluan membina semula perkhidmatan asas seperti bekalan air dan penjagaan kesihatan.

Merkel berkata keutamaan di Syria ialah untuk “mengelakkan bencana kemanusiaan”, tetapi tidak mengulas lanjut. – AFP, 19 Ogos, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen