Tidak perlu khidmat MCA untuk semak dan imbang, kata calon PRK Balakong


Gan Pei Ling

Wong Siew Ki bergambar bersama pemimpin DAP, Lim Guan Eng dan Tony Pua ketika diumumkan sebagai calon PRK Balakong bagi PH. – Gambar fail The Malaysian Insight, 19 Ogos, 2018.

CALON Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Balakong, Wong Siew Ki berkata gabungan itu tidak memerlukan MCA untuk berkhidmat sebagai semak dan imbang di Selangor.

“Saya gembira akhirnya MCA tahu konsep semak dan imbang. Sudah terlambat.

“Tetapi, saya tidak fikir mereka faham bagaimana PH bekerja. Wakil rakyat kami saling memarahi. Tidak ada parti yang superior. Semua sama.

“Sesiapa yang buat salah akan ditegur. Kami bukan seperti Barisan Nasional (BN) di mana Umno lebih tinggi,” kata Wong pada ucapan pertamanya di program ceramah di Taman Sri Bahagia, Batu 9Cheras, semalam.

Lebih 100 orang, majoriti Cina hadir program itu.

Wong, 32, berkata PH tidak menggunakan rasuah untuk memikat pengundi ketika pilihan raya.

“Anda sudah dengar daripada menteri, timbalan menteri, menteri besar Selangor dan exco.

“Ada mereka tawarkan untuk bina jalan atau projek, seperti BN buat dulu? Tidak ada.

“Kami tidak agihkan ‘gula-gula’. Kami tunjuk anda hasilnya. Ini perbezaan antara PH dan BN.”

Menteri Tenaga, Teknologi, Sains, Perubahan Iklim dan Alam Sekitar Yeo Bee Yin, Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Ong Kian Ming, Menteri Besar Selangor Amirudin Shari dan exco Ng Sze Han turut menyampaikan ceramah sebelum Wong pada program itu.

Amirudin berkata pengundi tidak perlu kasihan kepada MCA.

“Mereka secara rahsia berkawan dengan PAS. Walaupun mereka gugurkan logo BN, mereka masih sebahagian daripada BN, yang diketuai oleh kleptokrat.”

Wong, yang juga bekas ahli majlis Subang Jaya berjanji untuk membantu pengundi Balakong menyelesaikan masalah kesesakan lalu lintas dan banjir, jika dipilih pada 8 September ini.

“Saya akan berikan yang terbaik supaya anda tidak menyesal mengundi saya,” katanya yang juga seorang pembikin filem dokumentari. – 19 Ogos, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen