PRESIDEN Mesir Abdel Fattah al-Sisi meluluskan undang-udang untuk mengetatkan kawalan internet di negara ini, lapor akhbar rasmi negara itu hari ini.
Undang-undang berkaitan ‘jenayah siber’ itu membenarkan pihak berkuasa menerusi perintah hakim untuk menyekat laman web yang mendatangkan ancaman kepada keselamatan negara dan ekonomi Mesir.
Pentadbir atau pelayar laman web itu sama ada sengaja atau tidak sengaja tanpa alasan kukuh, boleh berdepan hukuman penjara dan didenda. Bagaimanapun rayuan boleh dikemukakan.
Pelaksanaan undang-undang itu mengundang kritikan kumpulan hak asasi manusia yang menyifatkan peraturan tersebut menghalang kebebasan bersuara terutamanya menerusi internet yang menjadi medan perdebatan umum terhadap pemerintahan Abdel Fattah.
Bulan lalu, ahli Parlimen Mesir meluluskan satu lagi rang undang-undang untuk memberi kuasa kepada Majlis Agung Kawalan Media bagi memantau pengguna media sosial.
Di bawah rang undang-undang itu, pengguna media sosial yang mempunyai lebih 5,000 pengikut akan dipantau.
Majlis itu juga diberi kuasa untuk menggantung atau menyekat mana-mana akaun individu yang menyiarkan berita palsu atau maklumat yang melanggar undang-undang, berbaur keganasan dan kebencian.
Kerajaan Mesir menegaskan langkah sedemikian perlu diambil bagi menangani ketidakstabilan dan ancaman keganasan di negara itu.
Menurut Pertubuhan Kebebasan Bersuara yang beribu pejabat di Kaherah, lebih 500 laman web telah disekat sejak undang-undang itu diluluskan. – AFP, 18 Ogos, 2018.
Komen