KETEGANGAN diplomatik antara Ankara dan Washington semakin memuncak apabila Presiden Turki Recep Tayyip Erdogan hari ini mengisytiharkan negaranya tidak akan dipermainkan oleh Amerika Syarikat (AS).
Dua negara anggota Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (Nato) itu saling bertelagah susulan penahanan seorang pastor Amerika yang mencetuskan konflik perdagangan dan menyebabkan mata wang Turki (lira) jatuh merudum.
“Kita tidak akan menyerah kalah kepada mereka yang kononnya sebagai rakan strategik sedangkan pada masa yang sama menjadikan Turki sebagai sasaran strategik,” kata Erdogan pada sidang kongres Parti Keadilan dan Pembangunan (AKP).
“Segelintir pihak mengugut Turki menerusi ekonomi, sekatan, pertukaran wang asing, kadar faedah dan inflasi. Kami tahu tindakan anda dan akan menentangnya.”
Minggu lalu, Presiden AS Donald Trump berkata beliau akan meningkatkan kadar tarif aluminium dan besi dari Turki, susulan tindakan Ankara menaikkan tarif terhadap beberapa produk AS.
Semalam, Turki mengancam untuk bertindak balas jika Washington mengenakan sekatan baharu ketika sebuah mahkamah tempatan menolak satu lagi rayuan untuk membebaskan pastor Andrew Brunson yang ditahan hampir dua tahun atas tuduhan keganasan.
Sementara itu mata wang lira semakin lemah berbanding dolar dengan penurunan sebanyak 20% dalam tempoh sehari pada minggu lalu.
Penurunan kadar mata wang itu berpunca akibat ketegangan antara Ankara dan Washington selain keengganan Erdogan untuk membenarkan bank pusat menaikkan kadar faedah. – AFP, 18 Ogos, 2018.
Komen