Israel tolak cadangan PBB lindungi rakyat Palestin


Anggota paramedik membawa seorang remaja Palestin yang cedera susulan pertempuran antara rakyat Palestin dan tentera Israel di timur Gaza. – Gambar AFP, 18 Ogos, 2018.

ISRAEL menolak laporan Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) Antonio Guterres yang mencadangkan pilihan untuk melindungi rakyat Palestin di wilayah yang dijajah Israel.

Duta Israel ke PP Danny Danon berkata dalam satu kenyataan hari ini, perlindungan rakyat Palestin hanya boleh diberikan oleh kepimpinan mereka sendiri.

Laporan setebal 14 muka surat itu menyatakan empat pilihan iaitu meningkatkan bantuan kemanusiaan kepada rakyat Palestin, menghantar kumpulan pemantau PBB yang tidak bersenjata dan mengerahkan pasukan polis atau tentera di bawah mandat PBB.

Mesyuarat Agung PBB meminta laporan tersebut disiapkan susulan peningkatan keganasan di Gaza yang menyaksikan 171 rakyat Palestin terbunuh akibat serangan Israel sejak lewat bulan Mac.

“Selain mencadangkan cara untuk melindungi rakyat Palestin daripada Israel, PBB seharusnya menuding jari kepada kepimpinan Palestin yang membahayakan nyawa rakyat mereka,” kata Danon.

“Cadangan laporan itu hanya membuatkan rakyat Palestin terus melakukan bantahan.”

Satu mandat PBB untuk mengerahkan pasukan perlindungan memerlukan kelulusan daripada Majlis Keselamatan PBB yang bakal menyaksikan Amerika Syarikat mungkin menggunakan kuasa veto bagi melindungi sekutu kuatnya, Israel. – AFP, 18 Ogos, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen