Hampir 10,000 syarikat masih tak daftar SST


Low Han Shaun

Ketua Pengarah Kastam Subromaniam Tholasy berkata setakat ini hanya 77,451 syarikat berdaftar di bawah SST menerusi pendaftaran automatik daripada sistem Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) sebelum ini. – Gambar fail The Malaysian Insight, 18 Ogos, 2018.

HAMPIR 10,000 syarikat di Malaysia masih belum mendaftar untuk Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST), kata Jabatan Kastam Diraja hari ini.

Ketua Pengarah Kastam Subromaniam Tholasy berkata setakat ini hanya 77,451 syarikat berdaftar di bawah SST menerusi pendaftaran automatik daripada sistem Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) sebelum ini.

“Kami menjangkakan 10,000 syarikat masih tidak mendaftar di bawah SST lagi, dan untuk 77,451 syarikat mendaftar, jumlahnya mungkin berkurangan kerana ada perniagaan akan dikecualikan daripada SST,” katanya kepada wartawan pada sidang media selepas taklimat SST di Subang hari ini.

Sebelum ini, The Malaysian Insight melaporkan yang Jabatan Kastam akan mengenakan SST pada tiga kadar berbeza untuk barangan iaitu 0%, 5% atau 10%, manakala kadar cukai perkhidmatan ditetapkan pada kadar selaras 6%.

SST akan menggantikan GST pada 1 September, memenuhi salah satu janji dibuat Pakatan Harapan untuk menang pilihan raya Mei lalu.

Subromanian berkata syarikat atau peniaga yang didaftarkan secara automatik atau tersilap daftar dengan Jabatan Kastam akan dikecualikan daripada SST.

“Sama ada perlu membayar GST atau tidak, mereka boleh mendaftar dahulu di laman web Jabatan Kastam (disebabkan kesuntukan masa untuk pelaksanaan SST dalam tempoh dua minggu).

“Jabatan Kastam melancarkan pendaftaran secara dalam talian sejak 16 Ogos lalu dan ini proses automatik daripada pendaftaran GST sebelum ini.

“Mereka yang tersilap daftar secara automatik mungkin perlu berurusan dengan bahagian pendaftaran kastam atau emel kepada [email protected] atau hubungi talian 03-882 2767/2633 atau mengirim dokumen kepada kastam.

Menyentuh tentang penerbangan domestik, Subromaniam berkata, penerbangan dalam negeri akan dikecualikan daripada SST manakala penerbangan antara negeri masih dikenakan SST.

“Pengecualian SST tidak hanya untuk Sabah dan Sarawak. Sebagai contoh, penumpang yang menaiki penerbangan dalam Sabah atau Sarawak iaitu dari Kota Kinabalu ke Tawau atau dari Kuching ke Sibu.

“Namun penerbangan dari Kuching ke Kuala Lumpur atau Kuala Lumpur ke Pulau Pinang akan dikenakan SST sebanyak 6%,” katanya sambil menambah jumlah kutipan SST dijangka mencecah RM22 bilion.  – 18 Ogos, 2018


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen