Peguam guna Wikipedia didakwa jadi punca lelaki dijatuhkan hukuman mati di Texas


Peguam TaiChin Preyor mendakwa bekas peguam Preyor sebelum ini tidak berpengalaman mengendalikan kes hukuman mati dan bergantung kepada maklumat Wikipedia. – Gambar AFP, 28 Julai, 2017.

MAHKAMAH Agung Amerika Syarikat menolak rayuan seorang pembunuh yang mendakwa peguam belanya menggunakan kajian Wikipedia untuk pembelaan kesnya. Penjenayah itu kemudiannya menjalani hukuman mati yang dijatuhkan kepadanya.

Peguam kepada TaiChin Preyor melakukan usaha saat akhir untuk menyelamatkan anak guam mereka dengan meminta Mahkamah Agung AS masuk campur beberapa jam sebelum dia dijadualkan menjalani hukuman mati menggunakan suntikan beracun.

Tetapi mahkamah itu mengekalkan keputusan mahkamah sebelum ini dengan hakim yang bersidang mengatakan penangguhan hukuman itu tidak akan mengubah keputusan bicara sekiranya kes itu dibicarakan semula.

Preyor menjalani hukuman mati dan diisytiharkan mati pada jam 9.22 malam waktu tempatan menurut Jabatan Keadilan Jenayah Texas.

Preyor, 46, didapati bersalah membunuh Jami Tackett pada 2004 yang dilakukan semasa rompakan.

Tacket ditikam beberapa kali dan lehernya dikelar.

Preyor ditahan dalam keadaan berlumuran darah di kawasan perumahan tempat Tackett dibunuh. Juri menolak pembelaan mempertahankan dirinya.

Peguam bela Preyor mendakwa bekas peguam anak guamnya sebelum itu tidak bersedia secukupnya untuk perbicaraan.

Mereka mengatakan bekas peguam bela Preyor ialah peguam undang-undang hartanah California dan tidak berpengalaman mengendalikan kes melibatkan hukuman mati.

Mereka juga menemui maklumat dalam fail Preyor yang mencadangkan bekas peguamnya itu bergantung kepada maklumat Wikipedia bagi mengkaji undang-undang hukuman mati Texas.

Mereka berhujah yang kesukaran  Preyor ketika membesar termasuklah penderaan fizikal dan seksual sepatutnya diambil kira dalam fasa awal kes itu yang boleh mengubah hukuman mati kepada hukuman penjara seumur hidup.

Mahkamah rayuan menolak hujah itu, mengatakan yang Preyor “tidak memberikan bukti mencukupi bahawa haknya yang dijamin Perlembagaan dicabul.”

Preyor ialah penjenayah kelima menjalani hukuman mati tahun ini di Texas.

Sekurang-kurangnya lima penjenayah lagi dijadualkan menjalani hukuman mati di negeri itu tahun ini, menurut Pusat Maklumat Hukuman Mati. – AFP, 28 Julai, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen