Arab Saudi guna bom buatan AS bunuh 40 kanak-kanak Yaman


40 kanak-kanak terbunuh apabila tentera diketuai Arab Saudi menggunakan bom jenis MK82 buatan Amerika Syarikat menyerang kawasan pemberontak Saada di Yaman yang bersempadan dengan Arab Saudi. – Gambar EPA, 18 Ogos, 2018.

PAKATAN tentera diketuai Arab Saudi menggunakan bom buatan Amerika Syarikat dalam serangan ke atas sebuah bas di kawasan pemberontak di utara Yaman sehingga membunuh 40 orang kanak-kanak dan menyebabkan 79 orang cedera, bom itu dijual AS menerusi perjanjian Jabatan Negara AS dengan Riyadh, lapor CNN.

Gambar jumlah serpihan bom yang diambil sejurus serangan bulan ini menunjukkan ia adalah bom jenis MK82 dengan panduan laser yang dikeluarkan kontraktor pertahanan AS Lockheed Martin, lapor CNN pada Jumaat memetik pandangan beberapa orang pakar letupan.

Bekas presiden Barrack Obama mengharamkan penjualan senjata panduan tepat kepada Arab Saudi selepas negara itu menggunakan bom serupa pada Oktober 2016 dalam serangan yang membunuh 140 orang pada majlis pengebumian di kawasan pemberontak Sanaa.

Tetapi Presiden Donald Trump membatalkan larangan itu selepas berkuasa pada 2017.

Daripada 79 orang yang cedera dalam serangan 9 Ogos di Saada itu, 56 adalah kanak-kanak, menurut Palang Merah Antarabangsa. Saada adalah kubu kuat pemberontak bersempadan Arab Saudi.

Pakatan tentera berjanji akan menjalankan siasatan dalaman tetapi penganalisis dan kumpulan bantuan menyuarakan keraguan ia telus dan bertanggungjawab seperti diminta masyarakat antarabangsa.

Konflik antara yang terburuk sedang berlaku kini itu sudah membunuh hampir 10,000 orang sejak tentera diketuai Saudi menceroboh Yaman pada Mac 2015 apabila pemberontak Huthi hampir menakluk kawasan terakhir dikuasi kerajaan Presiden Abedrabbo Mansour Hadi.

Pakatan tentera mengakui terdapat kesilapan kecil, tetapi tiada tindakan kepada mereka yang bersalah atau perubahan peraturan perang.

Komander tentera menuduh pemberontak menggunakan manusia sebagai perisai berdepan serangan mereka. – 18 Ogos, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen