Operasi selamatkan wanita sarat mengandung di Kerala berjaya


Kerala, kawasan pelancongan terkenal kerana kawasan pergunungan dan pantainya dilanda musim hujan lebat luar biasa tahun ini. Berpuluh ribu mangsa masih terperangkap dalam banjir yang sudah membunuh lebih 300 orang itu. – Gambar EPA, 18 Ogos, 2018.

SEORANG wanita sarat mengandung yang terperangkap dalam banjir di Kerala, India bersalin selepas diselamatkan helikopter tentera, kata jurucakap tentera laut India ketika tentera negara itu memperhebat operasi menyelamat pada Sabtu.

Berpuluh-puluh helikopter tentera laut terlibat dalam misi merbahaya untuk menyelamatkan mangsa yang terperangkap di atas bumbung rumah mereka dan kawasan yang terputus hubungan di kawasan dilanda banjir besar yang kini sudah membunuh 324 mangsa.

Sajita Jabeel, 25, diselamatkan oleh Komander Vijay Verma yang dipuji ramai kerana mengetuai misi menyelamat di kawasan Aluva di bandar Kochi.

“Wanita itu sedang bersalin, air ketubannya sudah pecah,” kata Verma kepada televisyen News18.

Beliau menyifatkan misi menyelamat itu sebagai “sangat sukar” dan pasukannya bergegas mencari keluarga mangsa selepas menerima panggilan.

“Kami bawa doktor bersama, kami angkat dia dan ia mengambil masa sebab kami perlu turunkan dua orang untuk membantu mengangkatnya ke atas helikopter.”

Jabeel melahirkan seorang bayi lelaki sihat selepas dikejarkan ke hospital.

Kerala, kawasan pelancongan terkenal kerana kawasan pergunungan dan pantainya dilanda musim hujan lebat luar biasa tahun ini.

Hampir 60 helikopter tentera dan penyelamat pandai dan ratusan bot memasuki kawasan banjir untuk menyelamatkan mangsa.

Tentera berkata puluhan ribu mangsa sudah diselamatkan sejak minggu lepas tetapi ribuan lagi masih terperangkap. – AFP, 18 Ogos, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen