BEKAS pemain kriket legenda Pakistan, Imran Khan mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri baharu pada majlis yang diadakan di Islamabad hari ini, sekali gus secara rasmi mengambil alih kuasa selepas parti pimpinannya, Tehreek-e-Insaf menang pada pilihan raya 25 Julai lalu.
Majlis angkah sumpah itu diadakan di Kediaman Presiden di Islamabad menandakan berakhirnya kepemimpinan yang cuma berkisar antara Liga Muslim Pakistan-Nawaz (PML-N) dan Parti Rakyat Pakistan (PPP) sejak beberapa dekad, selain pemerintahan tentera.
Imran, yang mengalirkan air mata dan mengenakan pakaian tradisional hitam, tersenyum apabila tersasul menyebut beberapa perkataan angkat sumpah yang disaksikan Presiden Mamnoon Hussain.
Beliau bersumpah untuk ‘memikul kepercayaan benar dan taat setia kepada Pakistan’ dan ‘menunaikan kewajipan dan melaksanakan tugas dengan jujur, sedaya upaya dan sentiasa mementingkan kedaulatan, integriti, perpaduan, kesejahteraan dan kemakmuran Pakistan.’
Isteri ketiga Khan, Bushra Bibi, sentiasa menundukkan wajah sepanjang majlis.
Ia adalah penampilan pertama Bibi sejak perkahwinan mereka awal tahun ini, dan beliau diiringi kawalan keselamatan ketat dan memakai niqab putih.
Khan, 65, dipilih sehari sebelum itu dalam undian dibuat Perhimpunan Kebangsaan dan dijangka mengetuai kerajaan pakatan.
Pilihan raya itu disifatkan sebagai ‘paling kotor’, dengan tuduhan sepanjang kempen bahawa tentera cuba masuk campur bagi memastikan kemenangan Khan. – AFP, 18 Ogos, 2018.
Komen