TEMPOH lima dekad telah menyaksikan Sarawak ketinggalan dalam soal pembangunan, berlaku pelanggaran dalam Perjanjian Malaysia 1963 dan pertikaian berhubung royalti minyak serta gas ternyata mengundang rasa tidak puas hati dalam kalangan rakyat negeri itu.
Siri perdebatan hangat juga berlangsung sejak beberapa tahun lalu berhubung Perjanjian Malaysia 1963 selain kehilangan hak, dan terbaharu, pertikaian dengan kerajaan baharu Pakatan Harapan melibatkan royalti minyak hanya memburukkan lagi keadaan.
Isu-isu tersebut juga menjarakkan Sarawak daripada Semenanjung Malaysia, demikian kata Menteri Pelancongan, Kesenian, Kebudayaan, Belia dan Sukan, Abdul Karim Rahman Hamzah yang menjelaskan sebab rakyat negeri itu tidak teruja untuk menyambut Hari Kebangsaan pada 31 Ogos ini.
“Pertikaian berkenaan menjauhkan diri kita (Sarawak) dari Semenanjung Malaysia,” katanya sambil menyatakan harapan kerajaan persekutuan lebih peka dengan situasi semasa dan mengambil langkah yang sewajarnya.
Karim berkata bagi rakyat Sarawak, sambutan Hari Kebangsaan pada 31 Ogos hanyalah satu tarikh dan tidak memberi sebarang kesan.
“Apa yang lebih penting untuk diraikan sama ada kami bebas daripada kemiskinan, masalah ekonomi dan sama ada kami (rakyat Sarawak) betul-betul bebas untuk membuat keputusan sendiri.”
Karim berkata apabila melibatkan soal pembangunan negeri, Sarawak sering dipinggirkan dan memetik laporan yang menyebut kerajaan persekutuan telah membatalkan sejumlah besar projek-projek kecil yang sebelum ini diluluskan oleh kerajaan terdahulu, Barisan Nasional.
“Ramai pelajar kami ke semenanjung untuk melanjutkan pengajian. Mereka dapat melihat pembangunan dan perubahan yang pesat di sana. Tetapi apabila mereka pulang ke kampung sendiri, masih belum bekalan air dan elektrik.
“Anda fikir bagaimana perasaan mereka?” katanya kepada Persatuan Wartawan Biro Kuching dan pegawai perhubungan awam Petronas pada satu majlis di Kuching hari ini.
Karim berkata jika Sarawak terus dipinggirkan, rakyat yang kini lebih terpelajar akan ‘bersuara dengan lebih lantang”.
“Jika tidak gembira, anda hanya perlukan pengaruh beberapa ahli politik dan menggunakan media sosial untuk mengeruhkan keadaan.” – 18 Ogos, 2018.
Komen