MANOSUR al-Amer meleretkan kad untuk membuka pod tidur kecil, mengingatkan kita kepada hotel kapsul terkenal di Jepun.
Bagaimanapun, pod ini di Arab Saudi, lokasi umat Islam dari seluruh dunia menunaikan ibadah haji yang bermula pada Ahad.
Kerajaan dijangka memperkenalkan pod tidur di Mina beberapa hari lagi dengan anggaran 2 juta umat Islam akan berkumpul untuk melaksanakan salah satu rukun Islam.
Pod tidur percuma ini adalah sebahagian daripada langkah baru yang dilancarkan Arab Saudi tahun ini dalam usaha memodenkan amalan berabad lamanya.
Kerajaan juga memperkenalkan aplikasi terjemahan dalam talian dan penjagaan perubatan kecemasan.
Amer adalah ketua badan kebajian Arab Saudi, Persatuan Amal Haji dan Mutamer, yang menawarkan antara 18 hingga 24 pod kepada jemaah haji secara percuma.
Setiap pod diperbuat daripada gelas fiber - kurang 3m panjang dan lebih 1m tinggi - disediakan dengan tilam, cadar bersih, penyaman udara dan cermin yang besar dan terang.
Ia boleh disusun secara melintang atau menegak bagi menjimatkan ruang.
“Kami sentiasa memikirkan jemaah haji dan bagaimana untuk menjadikannya lebih selesa semasa menunaikan ibadah haji,” kata Amer kepada AFP.
Pod tidur ini juga memberi penyelesaian kepada para jemaah haji yang tidak mampu menempah hotel tetapi memerlukan rehat segera semasa haji.
Setiap individu akan mempunyai akses selama tiga jam ke atas pod, yang diimport dari Jepun dengan kos kira-kira AS$1,114 (1,000 euro) setiap satu.
Apabila jemaah bangun menunaikan solat, pekerja akan mensterilkan pod sebelum menyerahkannya kepada jemaah haji lain.
“Idea ini sudah wujud secaa global seperti di Jepun dan di beberapa bandar di seluruh dunia,” kata Amer.
“Kami percaya ia amat sesuai bagi tempat yang sesak di tanah suci dan Mekah.”
Ia ini juga diilhamkan dengan peningkatan populariti perkongsian kereta dan basikal.
“Pod juga boleh berfungsi dengan perkongsian ekonomi, seperti basikal yang boleh anda sewa selama sejam dan kemudian disewa pula orang lain,” kata Amer.
Percubaan terhadap 12 pod awal tahun ini berjaya dan Amer menganggarkan 60 orang menggunakan pod setiap hari semasa Ramadan lalu.
Ibadah haji memberikan pihak berkuasa Arab Saudi dengan cabaran logistik kerana Islam kini merupakan agama paling pesat berkembang di dunia, menurut pusat penyelidikan Pew.
Menyediakan penginapan untuk dua juta orang bukanlah mudah, dengan jemaah yang datang dari seluruh dunia dan ia merupakan inisiatif “haji pintar” kerajaan Arab Saudi bagi memenuhi tuntutan haji yang semakin meningkat. – AFP, 18 Ogos, 2018.
Komen