BEKAS Gabenor Jakarta, Basuki Tjahaja Purnama atau Ahok, yang dipenjara dua tahun atas tuduhan menghina agama Islam, dikurangkan tempoh hukumannya dua bulan sempena sambutan ulang tahun kemerdekaan Indonesia semalam.
Ahok akan dibebaskan Januari tahun depan, lapor Kompas.com.
“Potongannya dua bulan tapi belum bebas. Baru bebas pada Januari 2019,” kata jurucakap penjara Ade Kusmanto, seperti dipetik portal berita itu.
Ahok yang dihukum penjara pada Mei tahun lalu sebelum ini dijadual keluar penjara April tahun depan.
Ahok dihukum penjara dua tahun setelah dituduh menista agama Islam semasa kempen pemilihan Gabenor Jakarta di Pulau Pramuka, Kepulauan Seribu pada September 2016.
Semasa kempen itu, beliau memetik sepotong ayat Quran yang kemudiannya disalah lapor dan disalah tafsir oleh penyokong lawannya.
Ahok yang berpasangan dengan Djarot Saiful Hidayat kalah dalam pemilihan gabenor Jakarta kepada gandingan Anies Baswedan dan Sandiaga Uno.
Ini adalah pengurangan tempoh hukuman yang kedua bagi Ahok selepas yang pertama sempena Krismas tahun lalu serta yang pertama baginya sempena hari kemerdekaan.
Ahok kini layak memohon dibebaskan awal sebagai tahanan parol kerana sudah menjalani dua pertiga tempoh hukuman dan memenuhi syarat-syarat lain.
Beliau bagaimanapun dilaporkan mahu menjalani hukuman penuh.– 18 Ogos, 2018
Komen