Adakah G25 pula akan diharamkan, soal Kit Siang


SEKIRANYA sebuah buku yang menggesa satu perbincangan rasional mengenai Islam dalam demokrasi berpelembagaan boleh diharamkan, adakah G25- kumpulan gabungan bekas penjawat awam Melayu Islam berpengaruh- yang menerbitkan buku tersebut akan menjadi sasaran pengharaman seterusnya, soal Lim Kit Siang hari ini.

Ahli Parlimen Gelang Patah itu menyifatkan tindakan itu sebagai “luar biasa dan tidak dapat diterima”, sehingga beliau sendiri bertanya kepada Menteri Dalam Negeri Ahmad Zahid Hamidi bagi mengesahkan sekiranya arahan itu dikeluarkannya sendiri serta alasan pengharaman.

“Adakah G25 pula akan diharamkan, membuktikan wujud halangan utama kepada pembentukan Malaysia yang moderat, serta kejayaan kumpulan pelampau di negara ini?

“Apakah gunanya Perdana Menteri (Najib Razak) melancarkan inisiatif antarabangsa Global Movement of Moderates, sekiranya sejak tujuh tahun lepas ia tidak menunjukkan ciri ‘global’, ‘sebuah pergerakan’ atau ‘moderat’; dan Kabinet membenarkan tekanan pihak tertentu sehingga mengabaikan prinsip berpelembagan tentang kesederhanaan, sampai mengharamkan buku G25,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Buku yang diterbitkan G25 bertajuk “Breaking the Silence: Voices of Moderation - Islam in a Constitutional Democracy” diharamkan selepas kerajaan mendapati ia “menjejaskan ketenteraman awam”.

E-gazet persekutuan Jabatan Peguam Negara mengatakan yang pengharaman itu dikuatkuasakan hari ini selepas Zahid membenarkan pengharaman buku itu pada 14 Julai.

G25 mengatakan yang mereka akan merayu keputusan itu.

Buku itu mengandungi makalah akademik yang ditulis ahli akademik terkemuka, peguam terkenal dan sarjana Islam progresif. Antaranya ialah pakar undang-undang Perlembagaan Dr Shad Saleem Faruqi, Pengarah Just World Dr Chandra Muzaffar, pensyarah undang-undang Universiti Malaya Azmi Sharom dan bekas Pengarah Eksekutif Sisters in Islam, Ratna Osman.

“Adakah penyumbang ini yang boleh dianggap tokoh unggul Melayu Islam masyarakat, kini dianggap musuh baru Malaysia, sama ada secara individu atau berkumpulan, yang cuba untuk memusnahkan fabrik sosial pelbagai budaya dan agama Malaysia?” soal Lim.

Beliau juga membangkitkan isu tentang kata pengantar buku itu yang ditulis bekas Perdana Menteri Abdullah Ahmad Badawi yang menyokong desakan G25 kepada Najib untuk “menggunakan kepimpinannya dan menyuarakan hasrat politik untuk menubuhkan satu jawatankuasa perundingan inklusif bagi mencari penyelesaian kepada masalah tersembunyi yang sudah dibenarkan membarah sejak sekian lama”.

Abdullah berkongsi harapan G25 yang buku itu akan menggalakkan lebih banyak perbincangan ilmiah yang rasional tentang bagaimana Islam digunakan sebagai sumber undang-undang awam dan dasar dalam masyarakat Malaysia yang pelbagai kaum dan agama, tetapi masih dalam kerangka Perlembagaan Persekutuan dan semangat Rukun Negara.

“Adakah kata pengantar Abdullah dalam buku itu kini menjadi kata pengantar yang diharamkan?” katanya menambah yang buku itu dilancarkan pemimpin kanan Umno dan Ahli Parlimen Gua Musang Tengku Razaleigh Hamzah di forum “Islam dalam Demokrasi Berpelembagaan” pada Disember 2015.

Lim berkata Tengku Razaleigh memberikan amaran yang “birokrasi agama” digunakan sebagai topeng kepada mereka yang mempunyai kepentingan jahat dengan menggunakan undang-undang Islam untuk berkuasa, mengancam peruntukan Perlembagaan yang menetapkan Sultan sebagai pemutus tunggal dalam pentadbiran hal ehwal Islam.

“Adakah pengharaman buku G25 adalah contoh serangan terbaru ‘birokrasi agama’ yang mencabul prinsip asas Perlembagaan Malaysia?”

Lim juga menggesa Kabinet yang bertemu hari ini untuk memperjuangkan perubahan menuju Malaysia yang moderat, menangguhkan arahan pengharaman buku itu dan menubuhkan jawatankuasa peringkat atasan yang akan mengadakan perbincangan awam bagi menentukan sama ada buku itu patut diharamkan.

“Saya pasti semua penyumbang buku G25, serta rakyat Malaysia mahukan pandangan mereka mengenai buku G25 itu didengari Jawatankuasa Kabinet, sama ada ia akan diharamkan atau tidak, untuk kebaikan semua jiwa rakyat Malaysia,” katanya. – 28 Julai, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen