Pertembungan satu lawan satu antara Pakatan, MCA di Balakong 


Gan Pei Ling

Kedua-dua calon PH dan MCA pada hari penamaan calon di Pejabat Daerah dan Tanah di Bandar Baru Bangi hari ini. – Gambar The Malaysian Insight oleh Kamal Ariffin, 18 Ogos, 2018

PILIHAN raya kecil Balakong di Selangor akan menyaksikan pertembungan satu lawan satu antara Pakatan Harapan dan MCA.

Sebaik sahaja tempoh penamaan calon ditutup pada jam 10 pagi, pegawai daerah dan tahah Hulu Langat Rosli Othman mengumumkan calon PH yang juga bekas ahi majlis Subang Jaya Wong Siew Ki akan bertemu dengan Ketua Pemuda MCA Cheras Batu 11 Tn Chee Teong pada pilihan raya 8 September depan.

Tan yang merupakan ahli perniagaan dan pertama kali bertanding pada pilihan raya, menghantar kertas pencalonan pada 9.06 pagi manakala Wong menghantar kertas pencalonannya pada 9.09 pagi di Pejabat Daerah dan Tanah di Bandar Baru Bangi.

Tan berkata beliau sangat gugup dan tidak dapat tidur pada malam sebelumnya dan bangun pada jam 6.30 pagi ini.

“Ini merupakan kali pertama saya bertanding sebagai calon pilihan raya dan MCA ialah underdog. Kelebihan yang saya ada hanyalah saya dilahirkan dan dibesarkan di Balakong,” katanya kepada media di pusat penamaan calon.

Timbalan presiden MCA Wee Ka Siong dan naib presidennya Chew Mei Fun, yang juga pengarah pilihan raya bagi pilihan raya Balakong, turut hadir memberi sokongan kepada Tan.

Penyokong kedua-dua parti melaungkan “MCA” dan “Pakatan Harapan” menjelang pengumuman rasmi kedua-dua calon.

Calon DAP, Wong ditemani oleh setiausaha agung parti itu Lim Guan Eng, setiausaha penganjur kebangsaan Anthony Loke, Ahli Parlimen Bangi Ong Kian Ming, pemimpin DAP Selangor Teng Chang Kim dan Ng Suee Lim.

Ini merupakan kali prtama MCA menggunakan logonya sendiri - bintang berbucu 14 belas - berbanding logo dacing Barisan Nasional, manakala DAP menggunakan logo Pakatan Harapan buat pertama kalinya.

Parti PH menggunakan logo PKR pada pilihan raya umum 9 Mei lalu berikutan Pendaftar pertubuhan tidak meluluskan pendaftaran pakatan itu.

Balakong merupakan sebahagian daripada kerusi Parlimen Serdang, yang dinamakan Bangi pada PRU14. Kawasan itu mempunyai 62,219 pengundi.

Balakong juga merupakan kubu kuat MCA sebelum tsunami politik 2008, dan merupakan kerusi selesa parti itu pada tiga pilihan raya umum antara 1995 dan 2004.

Bagaimanapun, kerusi itu jatuh kepada DAP pada pilihan raya umum 2008. Kekuatan parti sejak itu meningkat daripada 4,795 undi pada 2008 kepada 35,538 undi pada 9 Mei.

DAP menyapu bersih 17 kawasan daerah mengundi Balakong pada PRU14, termasuk kawasan majoriti Melayu seperti Desa Baiduri, Bandar Tun Hussein Onn dan Simpang Balak.

PH mendapat 41,768 undi, berbanding PAS (6,230 undi) dan MCA (5,874 undi).

PAS berkata, ia tidak bertanding pada Balakong untuk memberi pertahian kepada pilihan raya kecil Seri Setia dan ahlinya di Balakong bebas menyokong MCA. – 18 Ogos, 2018


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen