JABATAN Perumahan dan Pembangunan Bandar (HUD) Amerika Syarikat (AS) pada Jumaat mendakwa Facebook melanggar undang-undang dengan membiarkan pemilik dan penjual rumah menggunakan sistem sasaran iklannya untuk mendiskriminasikan bakal pembeli atau penyewa.
Aduan rasmi yang difailkan oleh HUD mengatakan pengiklan Facebook dapat mensasarkan rumah untuk disewa atau dijual berdasarkan faktor seperti bangsa, agama, jantina, kewarganegaraan, atau ketidakupayaan.
Ketepatan sasaran itu membenarkan pemilik tanah atau penjual rumah mendiskriminasi kumpulan tertentu yang melanggar Akta Perumahan Adil AS, mengikut dakwaan tersebut.
“Apabila Facebook menggunakan sejumlah besar data peribadi yang dikumpulnya untuk membantu pengiklan membezakan sasaran, ia sama dengan menutup peluang seseorang,” kata Anna Maria Farias, penolong setiausaha HUD dalam kenyataan itu.
Aduan rasmi dibuat selepas penyiasatan HUD mengesahkan pengiklan di Facebook boleh menyingkirkan beberapa kategori seperti orang yang menyatakan minat terhadap anjing bantuan, keibubapaan, China, atau Bible, menurut agensi itu.
Facebook melarang diskriminasi dan mengetatkan sistemnya tahun lalu untuk melindungi daripada sasaran disalahgunakan oleh pengiklan, jurucakap memberitahu AFP.
“Tiada tempat untuk diskriminasi di Facebook,” kata jurucakap itu.
“Kami sedar mengenai kenyataan kepentingan yang difailkan dan akan memberi respons di mahkamah dan kami akan terus bekerja dengan HUD untuk menangani kebimbangan mereka.” – AFP, 18 Ogos, 2018.
Komen