Kerajaan AS masih tahan lebih 500 kanak-kanak pendatang


Kerajaan Amerika Syarikat sedang berusaha menyatukan anak pendatang dengan ibu bapa mereka susulan arahan mahkamah dan bantahan terhadap polisi pemisahan negara itu. – Gambar AFP, 18 Ogos, 2018.

KERAJAAN Amerika Syarikat (AS) terus menahan 565 kanak-kanak pendatang haram, tiga minggu selepas tarikh akhir mahkamah untuk menyatukan semula mereka dengan ibu bapa atau penjaga, menurut fail mahkamah pada Jumaat.

Ia termasuk 24 kanak-kanak berumur lima tahun atau lebih muda yang dijaga oleh jabatan kesihatan dan kebajikan pelarian negara itu.

Office of Refugee Resettlement.(ORR) melaporkan ibu bapa 366 daripada 565 kanak-kanak itu berada di luar AS, menjadikan usaha menyatukan mereka sukar.

Ibu bapa daripada 154 kanak-kanak mengatakan tidak mahu bersatu dengan anak-anak mereka, katanya.

Manakala, lebih 180 kanak-kanak tidak dapat diserahkan kepada ibu bapa kerana dicop menjadi ancaman kepada anak-anak, mereka secara berasingan ditahan melalui penguatkuasaan undang-undang, atau berdepan litigasi yang berasingan.

Awal tahun ini, kerajaan memisahkan lebih 2,500 kanak-kanak pendatang daripada ibu bapa mereka selepas mereka menyeberangi sempadan AS dengan Mexico secara haram untuk tinggal di negara ini.

Kumpulan hak asasi manusia mencabar dasar pemisahan itu dan seorang hakim persekutuan di California mengarahkan keluarga disatukan bersama pada 26 Julai.

Jabatan Keselamatan Dalam Negeri, yang mengawal imigrasi haram mengatakan beberapa orang ibu bapa yang akur dihantar kembali ke sempadan, meninggalkan anak-anak di AS dan berharap akan bersama semula secara sah kelak.

ORR berkata dalam pemfailan ia terus cuba menyatukan anak-anak itu kembali dengan ibu bapa atau saudara mereka di AS. – AFP, 18 Ogos, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen